PETALING JAYA: Sebuah struktur yang didakwa dibina tanpa kebenaran di atas tanah milik Yayasan Kubra di Rawang Perdana dirobohkan awal pagi tadi dalam operasi yang berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, operasi tersebut dilaksanakan secara terkawal dengan pemantauan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keadaan kekal aman dan tidak menimbulkan ketegangan.
Katanya, tindakan itu merupakan hasil beberapa siri mesyuarat dan perbincangan melibatkan pelbagai pihak termasuk peguam, aktivis serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk bukan Islam.
Beliau turut menegaskan bahawa sepanjang operasi dijalankan, sensitiviti agama dihormati dan tiada sebarang tindakan mencemarkan simbol keagamaan dilakukan.
“Semasa meruntuhkan rumah anutan haram tersebut, kita masih menghormati agama lain. Buktinya kita tidak memecahkan patung-patung sembahan mereka.
“Kita Cuma alihkan sahaja kedudukan mereka dan kemudiannya mereka membawa patung-patung tersebut ke tempat lain. Jadi ini bukan isu agama.
“Pihak yang membangkitkan isu agama dan perkauman itulah yang sebenarnya rasis. Rumah anutan yang mengikut undang-undang kita tak pertikaian malah Islam melindungi kebebasan beragama,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, kawasan tersebut merupakan tanah milik yayasan yang telah diceroboh sejak 2018 dan perobohan dibuat bagi memberi laluan kepada projek pembinaan rumah asnaf.
Menurutnya, strategi perundangan telah dirangka lebih awal bagi memastikan tindakan yang diambil selaras dengan peruntukan undang-undang dan hak pemilikan tanah.
“Kita mengambil pendekatan berhati-hati dan memastikan proses berjalan secara tertib tanpa mencetuskan provokasi.
“Isu ini berkaitan pematuhan undang-undang serta status pemilikan tanah, bukan soal kebebasan beragama,” jelasnya.
Mengulas persoalan mengenai masa pelaksanaan, beliau berkata tindakan dilakukan lebih awal bagi mengelakkan kehadiran orang ramai dalam jumlah besar yang berpotensi menimbulkan risiko keselamatan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas kerjasama dan pemantauan profesional sepanjang operasi tersebut.
Setakat ini, tiada laporan mengenai sebarang tangkapan atau kejadian tidak diingini dilaporkan.-UTUSAN










