One Battle After Another: Yang lahir dari rahim kesunyian - Utusan Malaysia

One Battle After Another: Yang lahir dari rahim kesunyian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI Sinner, One Battle After Another (OBAA) menjadi satu lagi filem yang diramal memberi saingan kuat untuk kategori Best Picture, Anugerah Akademi Oscar tahun ini. Paul Thomas Anderson membikin OBAA lebih gila, rencam, dengan tempo yang tidak pernah perlahan sesekali membuat kita berfikir, bahawa filem ini seperti cermin yang menggambarkan betapa huru-hara, merepek dan mengarutnya konflik yang berada di dunia sekarang ini.

Saya kurang arif tentang sejarah Amerika Syarikat, tapi percaya bahawa golongan anarkis, sayap kiri akan berada di mana-mana. Mereka diam, memerhati, merancang sebelum akhirnya tampil melunaskan dendam.

Dalam OBAA, mereka menggelar diri mereka French 75 yang sebenarnya sangat mudah untuk membuat kita tertarik dengan perjuangan dan keberanian Perfidia lakonan sangat hebat Teyana Taylor walaupun masanya di skrin hanya berada di titik-titik awal.

Ketika cuba memahami Perfidia, rakan-rakannya di French 75 serta skandal sarjan Steven J. Lockjaw, saya teringat sebuah cerpen yang pernah ditulis oleh sebuah penulis prolifik Malaysia bernama S.M Zakir.

Dalam cerpen tersebut, beliau menulis bagaimana seorang lelaki berjuang menggulingkan raja sedia ada yang tidak adil. Namun, sebaik sahaja beliau menyarungkan mahkota itu di kepalanya, dia juga menjadi seperti raja sebelumnya.

Zakir membuat kita faham bahawa ada sumpahan tertentu yang akan terkena kepada orang yang berkuasa. Begitu juga Perfidia dalam OBAA. Saya percaya mungkin tindakan itu dipengaruhi juga dengan postpartum depression selepas melahirkan Willa.

Melihat adegan Bob di luar pintu mendengar Perfidia merentan menjerit mengatakan sangat pelik apabila dia cemburu dengan anaknya yang disayangi orang sementara dia macam daging hidup yang dilupakan.

Perjuangan French 75 pada asalnya memperjuangkan nasib yang tertindas kemudian menjadi sebuah obsesi bagi Perfidia. Dia merasakan berjuang, pegang senjata, bertempur, disanjung adalah dunianya. Bukan jaga anak di rumah.

Ketika itu Perfidia tersalah niat, dalam serangan di sebuah bank, dia melanggar syarat membunuh seorang pengawal keselamatan yang juga seorang lelaki berkulit gelap tidak berdaya di depan matanya. Rupanya itu baru permulaan, Perfidia kemudian memberi semua nama orang yang terlibat dalam gerakan itu kepada Steven. Satu per satu sahabatnya mati ditembak.

Satu lagi yang menarik untuk kita pandang adalah bagaimana dinamik hubungan Steven dan Perfidia. Saya tidak fikir mereka jatuh cinta, tapi saya percaya mereka umpama melihat diri masing-masing dalam mata masing-masing.

Ke­dua-duanya berjuang di jalan berbeza tapi buas, ganas, dan keinginan mahu menggenggam sesuatu masih kuat. Steven sangka dia sudah menggenggam dan menundukkan Perfidia selepas wanita itu memberikan nama orang tertinggi gerakan itu. Tapi tidak, Perfidia hilang tiba-tiba, Steven menabung dendam lebih lama. Mencari Bob dan Willa yang akhirnya membuat kita ternganga, dia anak siapa sebenarnya?

Adegan terakhir filem ini ketika Steven duduk di atas kerusi dengan kaki di meja, sayup-sayup suara jawapan temu duga masih bermain di latar sebenarnya ada benarnya juga. Steven menafikan dia pernah mempunyai hubungan istimewa dengan wanita berkulit gelap sebaliknya menyifatkan apa yang terjadi di atas ranjang dengan bilik berlampu merah 16 tahun lalu sebagai rogol.

Perfidia melihat potensi musuhnya iaitu Steven, seorang sarjan cerdas, bijak, kuat, cekap dan kumpulan anarkis memerlukan semua kualiti itu untuk ada dalam gerakan mereka. Orang itu adalah Willa, anak yang ditinggalkannya bersama Bob yang melarikan diri hidup diam-diam di dalam hutan. Sudah pasti Willa ketakutan apabila dipaksa menghadapi kisah silap ibu ayahnya yang penuh hitam.

Dia terkejut ada dua orang ayah dan ibunya seorang ‘tikus’ membuatnya membenci dirinya sendiri. Ketika Bob datang mahu memeluk Willa, dia bertanya ‘siapa kau?’ Bersedia menembak sesiapa sahaja kerana Willa faham, dalam dunia ini tiada siapa yang boleh dipercayai.

One Battle After Other menunjukkan konflik akan membuat kita seperti berlari tapi tidak semestinya kebal daripada sunyi.

Di akhirnya, kesunyian paling dalam akan hadir bukan kerana tiada sesiapa di sekeliling kita. Tapi kerana tiada sesiapa yang boleh dipercaya. Tiada sesiapa yang mahu menganggap kita ada. Ada atau tiada, semuanya sama sahaja. Itulah konflik besar yang mengikat Willa, Steven dan Perfilia sebagai sumpahan satu keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN