PETALING JAYA: Institut Integriti Malaysia (IIM) melantik Datuk Seri Noridah Abdul Rahim sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu, berkuat kuasa pada 9 Februari 2026.
IIM berkata, pelantikan beliau adalah bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut susulan persaraan Datuk Ts Ahmad Ramzan Daud pada 24 Disember 2025 lalu.
“Sebelum pelantikan ini, beliau merupakan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan. Memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada September 1998.
“Beliau juga telah menyandang pelbagai jawatan kepimpinan utama, termasuk sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Setiausaha di Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman serta Pengarah di Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya dalam kenyataan.
Dari segi latar belakang akademik, Noridah Abdul Rahim memiliki Ijazah Sarjana Pembangunan Sumber Manusia daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Seluruh Ahli Lembaga Pengarah dan warga kerja IIM merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan Datuk Seri Noridah Abdul Rahim.
“Dengan pengalaman luas dan ketokohan beliau dalam pentadbiran awam, IIM yakin beliau mampu memacu institut ini ke arah kecemerlangan dalam membudayakan integriti dan tatakelola terbaik di Malaysia.
“Pada masa yang sama, IIM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Ts Ahmad Ramzan Daud atas segala jasa, komitmen dan khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau menerajui IIM,” ujarnya. –UTUSAN










