Nibong Tebal: 21 masjid, 63 surau terima sumbangan Iftar MADANI

Nibong Tebal: 21 masjid, 63 surau terima sumbangan Iftar MADANI

FADHLINA Sidek (tengah) ketika hadir menyampaikan sumbangan Iftar MADANI kepada masjid dan surau dalam kawasan Parlimen Nibong Tebal di pekarangan Masjid As-Solihin, Kampung Kepala Gajah, Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Sebanyak 21 buah masjid dan 63 surau dalam kawasan Parlimen Nibong Tebal hari ini menerima sumbangan Iftar MADANI berjumlah RM105,000 daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Menerusi sumbangan itu, setiap masjid akan menerima sebanyak RM2,000 manakala RM1,000 diberikan kepada setiap surau untuk menganjurkan pelbagai aktiviti ibadah dan kebajikan dalam usaha mengimarahkan bulan Ramadan yang akan menjelang tidak lama lagi.

Menurut Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal, sumbangan tersebut disampaikan sendiri oleh Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal dalam satu majlis di Masjid As-Solihin, Kampung Kepala Gajah, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Tan Sri Khalid Ramli serta pengerusi-pengerusi masjid dan surau di seluruh kawasan Parlimen Nibong Tebal.

Dalam pada itu, Fadhlina dalam ucapannya berkata, beliau sentiasa komited dengan usaha untuk meningkatkan syiar Islam di kawasan Parlimen Nibong Tebal.

“Sebagai contoh, sepanjang tahun 2025, sebanyak RM750,000 telah diperuntukkan bagi tujuan naik taraf masjid dan surau di seluruh Parlimen Nibong Tebal.

“Kerja naik taraf masjid dan surau yang telah siap dilaksanakan itu merangkumi pemasangan karpet baru serta naik taraf ruang solat dan tandas,” kata beliau.

Tambah Fadhlina, terkini, surau sementara di tapak pembinaan masjid Taman Halaman Indah iaitu Surau Al-Munauwwarah telah siap sepenuhnya dan sedia untuk digunakan oleh penduduk pada bulan Ramadan ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN