NGO minta ahli Parlimen sokong penuh pindaan RUU

NGO minta ahli Parlimen sokong penuh pindaan RUU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), meminta ahli-ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik, menyokong penuh Rang Undang-Undang (RUU) had tempoh jawatan Perdana Menteri dan RUU pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Wadah berkata, kedua-dua pindaan itu merupakan lonjakan besar ke hadapan dalam usaha mengukuhkan institusi demokrasi negara.

Ia juga memastikan pengimbangan kuasa yang lebih sihat, serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran dan keadilan di Malaysia.

Katanya, dengan kelulusan RUU itu, negara akan menjadi lebih kuat dengan sistem pentadbiran lebih telus dan institusi kehakiman lebih berintegriti.

“Wadah menyeru semua Ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik, untuk meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi atau parti.

“Undilah dengan penuh rasa tanggungjawab untuk meluluskan kedua-dua RUU ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, kerajaan membentangkan kedua-dua RUU berkenaan untuk bacaan kali pertama di Parlimen.

RUU berkenaan adalah RUU Per­­lembagaan (Pindaan) ­­­­(No. 1) 2026 bertujuan untuk mengehadkan tempoh perjawatan Perdana Menteri maksimum 10 tahun.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 pula bertujuan untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pen­dakwa Raya yang dapat menamatkan persepsi konflik kepentingan dan “pendakwaan terpilih”.

Wadah turut merakamkan penghargaan dan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan MADANI atas keberanian dan iltizam politik melaksanakan reformasi perlembagaan yang bersejarah melalui pembentangan kedua-dua RUU berkenaan.

“Reformasi ini adalah bukti bahawa Malaysia mampu berubah dan menjadi model negara demokrasi Islam yang progresif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN