Nelayan ditindas gara-gara salah laku agensi kerajaan

Nelayan ditindas gara-gara salah laku agensi kerajaan

CHE ANI MAT ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kegagalan melaksanakan tindakan atas isu salah laku melibatkan jabatan yang menjaga hal ehwal nelayan memberi kesan besar kepada komuniti nelayan pantai yang saban tahun berdepan isu penguatkuasaan tidak konsisten.

Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajian Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING), Che Ani Mat Zain berkata, ini termasuk aduan salah guna kuasa, layanan tidak adil serta kelewatan tindakan terhadap pencerobohan zon perikanan dan aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah yang selama ini disuarakan oleh golongan nelayan.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius pendedahan laporan Utusan Malaysia bahawa Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah menyiasat 243 kes sejak 2022, namun sekitar 80 peratus dapatan salah laku penguat kuasa tidak diambil tindakan walaupun syor tatatertib telah dikemukakan.

“Angka ini amat membimbangkan dan membuktikan wujud kelemahan sistemik dalam memastikan akauntabiliti agensi penguatkuasaan.

“Apa gunanya siasatan dijalankan sekiranya hasil dapatan hanya tinggal di atas kertas dan boleh diabaikan oleh ketua jabatan?

“Keadaan ini secara langsung melemahkan fungsi semak dan imbang EAIC serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keadilan dan integriti institusi penguatkuasaan negara,” katanya di sini semalam.

Akhbar ini pernah mendedahkan isu melibatkan nelayan kecil antaranya yang memiliki 48,440 sampan dan bot kecil berdepan risiko ancaman nyawa setiap hari, berikutan kes pencerobohan bot pukat tunda terus berlaku tanpa ada tindakan penyelesaian konkrit.

Susulan itu, hasil siasatan EAIC mendedahkan kelemahan serius dalam pengurusan penguatkuasaan Jabatan Perikanan (DOF) Pulau Pinang berhubung dakwaan kegagalan bertindak terhadap pencerobohan bot pukat tunda dari Zon B ke Zon A.

Selain itu, EAIC pernah mendedahkan berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur dan dasar pelesenan DOF dalam proses kelulusan 54 lesen perikanan yang diberikan kepada dua buah syarikat.

Dalam pada itu, Che Ani berkata, tanpa akauntabiliti yang tegas, nelayan kecil terus menjadi mangsa manakala pelanggaran undang-undang berulang tanpa penyelesaian.

Justeru, pihaknya menggesa kerajaan memperkukuh kuasa EAIC supaya setiap syor dan keputusan tatatertibnya bersifat mengikat dan wajib dilaksanakan, serta memastikan tindakan disiplin yang telus dan berkesan.

“Langkah ini demi melindungi hak komuniti pesisir dan memulihkan kepercayaan rakyat terhadap sistem penguatkuasaan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN