KOTA BHARU: Malaysia perlu melahirkan lebih ramai pakar ortopedik yang berkeupayaan mengendalikan teknologi pembantu pembedahan robotik (ROSA) bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam rawatan penggantian lutut menyeluruh yang semakin berkembang pesat.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, ROSA merupakan teknologi perubatan masa hadapan yang bakal menjadi sebahagian daripada pasukan pembedahan standard, seiring kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI) dalam bidang kesihatan.
“Suka atau tidak, kita mesti menyediakan lebih ramai pakar kerana robot pembedahan seperti ROSA akan menjadi rakan strategik kepada doktor pada masa hadapan.
“Jika kita gagal menguasai teknologi ini, Malaysia akan ketinggalan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Perkhidmatan Pembedahan Robotik Penggantian Lutut Menyeluruh sempena Majlis Perutusan Naib Canselor 2026 di Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, di sini, semalam.
Dr. Abdul Rahman memberitahu, selain Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan beberapa hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), teknologi ROSA kini turut digunakan di beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) termasuk USM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Katanya, peranan IPTA sangat signifikan kerana tidak hanya tertumpu kepada penyediaan perkhidmatan kesihatan, sebaliknya turut menjadi pusat latihan dan pembangunan kepakaran dalam pengendalian teknologi berkenaan.
“USM merupakan hospital pengajar. Kami bukan sekadar merawat pesakit, tetapi juga menjalankan penyelidikan dan melahirkan pakar. Pesakit boleh dirawat di mana-mana hospital, namun mereka yang mahu belajar dan membina kepakaran hanya boleh melakukannya di IPTA,” ujarnya.
Dr. Abdul Rahman berkata, setakat ini USM telah melaksanakan 13 pembedahan lutut menggunakan bantuan ROSA, selain melatih ramai pelajar serta doktor ortopedik dalam latihan lanjutan sebagai pakar dari universiti tempatan dan tiga universiti di Indonesia.
Katanya, USM juga telah mula memberikan pendedahan awal pengendalian ROSA kepada 30 penuntut pascasiswazah di bawah program Sarjana Perubatan Ortopedik.
Dalam perkembangan sama, Dr. Abdul Rahman berkata, USM kini mempunyai tiga pakar pengendalian ROSA diketuai oleh Pakar Perunding Ortopedik/Arthroplasti Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Amran Ahmed Shokri.
“Dua lagi pakar ialah Dr. Muhammad Rajaei Ahmad Mohd. Zain, Pensyarah dan Pakar Ortopedik Unit Arthroplasti PPSP serta Profesor Madya Dr. Shaifulzain Ab. Rahman, Pensyarah Kanan dan Pakar Ortopedik Unit Arthroplasti PPSP,” ujarnya.
Katanya, ketiga-tiga pakar berkenaan telah menggunakan ROSA sejak September tahun lalu dalam pembedahan yang dijalankan.
“Namun perlu difahami, ROSA hanyalah alat bantuan supaya pembedahan lutut lebih tepat dan cepat. Keputusan pembedahan tetap bergantung kepada kepakaran, pengalaman dan ketelitian manusia,” jelasnya. – utusan











