KOTA BHARU: Penantian hampir tiga dekad untuk melihat khazanah sejarah Kelantan diterbitkan dalam Siri Karya Agung bakal menjadi kenyataan apabila Naskhah Sejarah Kelantan dijangka siap sepenuhnya dan dikeluarkan pada April ini.
Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Karyawan, Datuk A. Aziz Deraman berkata, proses penyediaan naskhah edisi mewah keluaran Yayasan Karyawan bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) itu telah mencapai kira-kira 50 peratus dan kerja-kerja akhir sedang giat dilaksanakan.
“Naskhah akan dijual semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 29 Mei hingga 7 Jun, sekali gus membuka peluang kepada khalayak lebih luas untuk memiliki karya berprestij tersebut.
“Kita jangka siap dan diterbitkan sekitar April, sebelum Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Ini peluang terbaik untuk memperkenal karya agung Kelantan kepada masyarakat seluruh negara,” katanya selepas Majlis Penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) Penerbitan Naskhah Sejarah Kelantan yang turut disaksikan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Datuk Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz di Kompleks Balai Islam Lundang, di sini hari ini.
A. Aziz Deraman berkata, ia adalah penerbitan karya agung pertama dari Kelantan selepas 30 tahun penubuhan Yayasan Karyawan pada 30 Ogos 1996 .
Katanya, sejak bermulanya Siri Penerbitan Karya Agung yang sejajar dengan penubuhan yayasan hasil cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu, belum ada karya agung dari Kelantan diterbitkan. – UTUSAN










