Nabil nafi hubungan dengan Fazura dingin, tidak baca Threads

Nabil nafi hubungan dengan Fazura dingin, tidak baca Threads

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengacara popular, Nabil Ahmad, menafikan dakwaan kononnya hubungannya dengan selebriti terkenal, Nur Fazura, pernah renggang seperti diperkatakan segelintir pihak di media sosial.

Nabil atau  Ahmad Nabil Ahmad, 42, berkata, khabar angin berkenaan tidak berasas kerana mereka pernah beberapa kali bekerjasama sebelum ini.

“Hubungan saya dengan Fazura memang sangat baik. Kami pernah bekerjasama sebelum ini, cuma saya sendiri terlupa pernah menjalani penggambaran dan menjayakan program bersama.

“Antaranya program Bujang Terlajak bersama Apek Senario. Apabila video lama itu dimainkan semula, barulah saya teringat kami pernah agak rapat.

“Apabila bertemu semula di Jakel, Alhamdulillah apa yang dirancang mendapat perhatian dan menjadi sebutan. Saya gembira kerana hubungan baik itu masih kekal,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media dan pelancaran lagu raya terbaharu nyanyian Nabila Razali berjudul Tak Sabar Nak Raya di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Nabil berkata, demi menjaga kesejahteraan mental, beliau memilih untuk tidak memiliki akaun Threads bagi mengelak terdedah kepada komen atau spekulasi negatif.

“Sejujurnya, saya memang tidak membaca apa yang diperkatakan kerana itu semua persepsi. Malah, saya tidak mempunyai akaun Threads dan sengaja tidak mengikuti perkara sebegitu demi menjaga kesihatan mental.

“Saya difahamkan ada pihak cuba melaga-lagakan sehingga menimbulkan salah faham. Bagi saya, lebih baik tidak ambil tahu.

“Hakikatnya, apabila kami berjumpa secara bersemuka, hubungan kami sangat baik. Saya bersama duta Jakel lain termasuk Fazura, Que Haidar dan Kamal Adli boleh duduk semeja, bergelak ketawa dan bekerjasama dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Nabil turut melahirkan rasa gembira melihat keakraban Fazura dan Que Haidar yang disifatkannya menerima sokongan ramai.

“Memang ada momen yang orang kata ‘cuteness overload’. Sebagai kawan, apabila melihat suasana ceria di set, kita turut rasa seronok dan teruja melihat keserasian itu.

“Sama ada ia dirancang atau tidak, saya tidak pasti. Namun, di sebalik tabir apabila melihat mereka berbual sementara menunggu kamera disiapkan, ia kelihatan ikhlas, insya-Allah,” katanya.

Terkini, Nabil bakal muncul dalam video muzik lagu raya terbaharu Nabila Razali, Tak Sabar Nak Raya yang dijadual dilancarkan Jumaat ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN