Mustahil Lembaga Disiplin diluluskan MPT ‘diperkuda’ - Utusan Malaysia

Mustahil Lembaga Disiplin diluluskan MPT ‘diperkuda’

SAHRUDDIN JAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dakwaan bahawa Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ‘diperkudakan’ individu tertentu untuk memburu Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin merupakan tuduhan tidak berasas.

Ketua Badan Pimpinan Ne­geri (BPN) Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, pelantikan Pengerusi Lembaga Disiplin memerlukan kelulusan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Katanya, sebarang keputusan dibuat berhubung kedudukan Hamzah pastinya mengambil kira kedudukan dan kepenti­ngan masa depan parti.

“Perkara ini saya serahkan kepada Lembaga Disiplin parti, apapun keputusan dibuat kita sebagai ahli perlu akur. Pastinya ia telah difikirkan dengan cermat dan teliti.

“Insya-Allah saya percaya sebarang keputusan dibuat tidak akan menjejaskan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) khususnya bersama Pas. Kita akan terus kukuhkan kerjasama secara berterusan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Semalam, Lembaga Disiplin Bersatu didakwa diperkuda pihak tertentu bagi memburu Hamzah.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Lembaga Disiplin juga bersikap pilih kasih dan memilih-milih dalam menjalankan siasatan, demi memuaskan hati pihak tertentu.

Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong menggesa akar umbi memberikan tumpuan kepada kerjasama sesama ahli dan rakan-rakan komponen PN.

“Hubungan dan kerjasama antara Bersatu dan Pas akan diteruskan demi agama, bangsa dan negara. Begitu juga kerjasama antara Bersatu dengan rakan-rakan komponen lain dalam PN.

“Fokus kita ketika ini haruslah terhadap persiapan menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang akan bermula di Melaka, sebelum disusuli Johor dan kemudian pilihan raya umum (PRU),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN