Murid asnaf di Pitas terima sumbangan UMS

Murid asnaf di Pitas terima sumbangan UMS

Agihan cenderahati dan alat mainan kepada kanak-kanak Kampung Timbang Taun, Pitas, Sabah – HARDY JOE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seramai 34 murid asnaf di daerah Pitas, Sabah menerima sumbangan wang tunai, pakaian seragam dan beg sekolah daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi program Back To School 2026 dilaksanakan di Kampung Timbang Taun Pituru, Pitas, baru-baru ini.

Program Kelab Kebajikan dan Rekreasi Staf Fakulti Sains dan Teknologi (KRiS-FST) UMS dengan kerjasama Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) itu bertujuan mengurangkan beban keluarga asnaf serta menyokong keperluan persekolahan murid pada sesi persekolahan baharu 2026.

Penasihat KRiS-FST yang juga Dekan FST, Prof. Dr. Rodeano Roslee berkata, program itu mencerminkan komitmen UMS sebagai rakan strategik komuniti dalam menyokong pembangunan sosial dan pendidikan luar bandar.

“UMS bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ilmu, malah memikul tanggungjawab sosial untuk bersama-sama membantu komuniti.

“Kami berharap sumbangan itu dapat menyuntik semangat kepada murid untuk terus hadir sekolah dan membina masa depan lebih baik,” katanya.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam PBNS, Yazid Kiffli berkata, kerjasama PBNS dan UMS adalah usaha berterusan memastikan bantuan kebajikan dapat disampaikan kepada golongan memerlukan secara tersusun dan berkesan.

“Bantuan pendidikan ini adalah pelaburan jangka panjang untuk masa depan anak asnaf,” katanya.
“PBNS berfungsi mengurus dan mengumpul kumpulan wang amanah daripada masyarakat Islam di Sabah untuk membantu meningkatkan keadaan ekonomi golongan kurang berkemampuan.

Sumbangan itu diserahkan Dr. Rodeano kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK), Mari Mari.

Selain itu, turut diadakan penyerahan tawas oleh wakil PBNS kepada pengelola tiga loji mini rawatan air dibangunkan hasil kerjasama UMS dan PBNS di Kampung Timbang Taun, Mengkapon dan SMK Bongkol. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN