Muara cetek, hasil kerang nelayan Bagan Datuk merosot

Muara cetek, hasil kerang nelayan Bagan Datuk merosot

MOHD. Nahar Sarip menggunakan peralatan khas untuk menyauk kerang di muara Sungai Tiang di Bagan Datuk, Perak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Nelayan dan penternak kerang di pesisir muara Sungai Tiang di sini mengeluh apabila pendapatan hasil kutipan kerang semakin merosot berikutan keadaan perairan yang semakin cetek sejak kebelakangan ini.

Situasi itu didakwa berpunca daripada beberapa faktor antaranya musim panas berpanjangan, pencerobohan kawasan ternakan kerang serta fenomena air pasang besar yang menjejaskan habitat hidupan laut berkenaan.

Seorang penternak kerang, Mohd. Nahar Sarip, 58, berkata, keadaan muara yang cetek serta aliran air yang perlahan menyebabkan lumpur di dasar sungai menjadi keras, sekali gus menjejaskan pembiakan dan populasi kerang.

Menurutnya, fenomena air pasang besar yang berlaku pada Oktober lalu turut menyebabkan air tercemar mengalir hingga ke muara Sungai Perak di sekitar Bagan Datuk seterusnya memusnahkan benih kerang sedia ada.

“Beberapa tahun lalu, hasil kerang masih banyak dan boleh dijual dalam kuantiti besar namun sejak kebelakangan ini jumlahnya semakin berkurangan.

“Sekarang saya hanya mampu mengutip sekitar lima hingga enam kilogram sehari. Paling banyak pun lapan kilogram dan itu pun kebanyakannya sudah mati atau rosak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Nahar berkata, sebelum ini dia mampu memperoleh pendapatan bersih sehingga RM8,000 sebulan namun kini merosot kepada sekitar RM2,000 akibat hasil yang semakin berkurangan.

Katanya, bagi tahun ini, dia hanya beberapa kali dapat menjual kerang hasil ternakan di muara Sungai Tiang berikutan kadar pembiakan yang rendah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×