KUALA LUMPUR: MPH Bookstores meraikan kecemerlangan industri buku menerusi penganjuran Anugerah Juara Buku 2025 sebagai penghargaan terhadap karya-karya terbaik tempatan dan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Martin Cross berkata, penganjuran anugerah itu bertujuan memberi pengiktirafan sewajarnya kepada penulis dan penerbit, khususnya bakat tempatan.
Katanya, anugerah tersebut bukan sahaja meraikan kejayaan karya berkualiti, malah diharap dapat menjadi inspirasi kepada pemain industri buku agar terus menyumbang kepada perkembangan budaya membaca di negara ini.
“Anugerah itu merangkumi semua jenis buku. Anugerah pula adalah berdasarkan jualan, iaitu jumlah jualan sepanjang tahun ditambah jualan bulan pertama tahun berikutnya. Maka penilaiannya adalah objektif.
“Kami juga mahu menunjukkan bahawa kedudukan penulis serta penerbit tempatan setanding, malah ada yang lebih baik daripada karya dan penerbitan antarabangsa,” katanya ditemui selepas Anugerah Juara Buku 2026 dan Pelancaran Mutiara Minda di MPH Bookstores Cawangan TRX, hari ini.
Anugerah itu menyaksikan novel Kaisar karya Jiwa dinobatkan sebagai Best Book of the Year selepas mencatat jualan tertinggi, sekali gus mencerminkan sambutan positif pembaca terhadap karya tempatan.
Dalam pada itu, kata Cross, MPH juga merancang menaik taraf secara berperingkat cawangan sedia ada dengan konsep reka bentuk lebih moden bagi meningkatkan pengalaman pelanggan.
“Setakat ini, kedai pertama yang dibuka dengan konsep baharu ialah di TRX. Kemudian kami membuka semula cawangan di Alamanda, Putrajaya, dan satu lagi yang baru dinaik taraf ialah di Setia City Mall.
“Jadi, kini ada tiga kedai dengan konsep reka bentuk penuh baharu. Tahun ini, kami merancang untuk menaik taraf dua lagi cawangan dan dalam beberapa tahun akan datang, semua kedai dijangka dinaik taraf,” katanya.
Sempena sambutan ke-120, rangkaian kedai buku itu turut melancarkan aplikasi keahlian baharu, MPH Explore yang membolehkan ahli mengumpul mata ganjaran bagi setiap pembelian selain menikmati pelbagai keistimewaan termasuk tawaran diskaun serta promosi eksklusif.-UTUSAN










