PETALING JAYA: Perdana Menteri India, Narendra Modi menyifatkan Malaysia sebagai rakan kongsi paling rapat dan dipercayai.
Beliau berkata, hubungan India dengan Malaysia memasuki fasa baharu selepas kedua-dua pemimpin meningkatkan status hubungan kepada perkongsian strategik komprehensif semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke New Delhi pada 2024.
“Hari ini, kita berjalan seiring sebagai rakan kongsi ke arah kemajuan dan kemakmuran. Kejayaan India adalah kejayaan Malaysia, dan ia adalah kejayaan Asia,” katanya ketika berucap pada acara ‘Selamat Datang Modi Ji’ anjuran komuniti India di Malaysia di sini, semalam.
Modi berkata, Malaysia merupakan penempatan komuniti kedua terbesar diaspora India di dunia.
Katanya, diaspora kekal sebagai jambatan yang menghubungkan sejarah, tradisi dan aspirasi kedua-dua negara.
“Hubungan sesama rakyat terus menjadi pemangkin kepada pengukuhan hubungan dua hala.
“Anda telah menghubungkan makanan, bahasa dan budaya kita. Kita memahami satu sama lain secara semula jadi,” katanya.
Modi turut mengumumkan beberapa langkah bagi menambah baik kesalinghubungan antara India dengan Malaysia.
Antaranya termasuk penyediaan biasiswa kepada pelajar Malaysia keturunan India, peluasan kelayakan kad OCI (Overseas Citizen of India) sehingga generasi keenam, pertukaran belia serta perancangan membuka konsulat baharu India di Malaysia.
Beliau turut menjemput rakyat Malaysia melawat India dan menegaskan bahawa hubungan rakyat kekal sebagai teras perkongsian, selari dengan kedudukan India sebagai antara ekonomi utama dunia yang paling pesat berkembang ke arah menjadi negara maju menjelang 2047.
“India akan sentiasa menyambut anda dengan tangan terbuka. Bersama-sama, kita boleh membina masa depan pertumbuhan dan kemakmuran bersama,” katanya.
Modi turut menzahirkan penghargaan khas kepada Anwar atas sambutan dan kesudian mengiringi beliau ke majlis berkenaan.
“Gerak isyarat istimewa itu mencerminkan kasih sayang serta penghormatan beliau terhadap India dan komuniti di sini. Saya berterima kasih atas layanan mesra dan persahabatan ini,” katanya. – UTUSAN










