PUTRAJAYA: Perdana Menteri India, Narendra Modi diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini sempena lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.
Ketibaan Modi pada pukul 9 pagi tadi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Modi kemudiannya memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (RRD) diketuai Mejar Muhamad Nur Addeen Mustaza.
Seterusnya, kedua-dua pemimpin ke Kompleks Seri Perdana bagi mesyuarat dua hala dan mesyuarat antara delegasi bagi membincangkan isu-isu hubungan dua hala serta mempelopori peluang kerjasama antara Malaysia dengan India.
Usai mesyuarat, Anwar dan Modi akan mengadakan sidang akhbar bersama selepas menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pembanterasan dan pencegahan rasuah, pengurusan bencana dan perjanjian mengenai penerbitan audio visual.
Ini termasuk memorandum kerjasama (MoC) dalam bidang tenaga kerja, pertukaran nota (EoN) dalam bidang semikonduktor, kesihatan, keselamatan negara serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Pertukaran surat (EoL) mengenai kerjasama pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga dilaksanakan dan penyerahan Perjanjian Rangka Kerja International Big Cats Alliance (IBCA).
Lawatan ini merupakan lawatan balas atas jemputan Anwar susulan lawatan rasmi beliau ke India pada Ogos tahun lalu. – UTUSAN










