KUALA LUMPUR: Platform animasi digital tempatan, MMToon membuka reruai khas bersempena Program Zoom Kartun sebagai langkah awal memperkenalkan kandungan kreatif itu kepada penggemar kartun dan orang ramai.
Penyertaan itu merupakan kali pertama MMToon terlibat secara langsung dalam Program Zoom Kartun yang menghimpunkan pemain industri animasi dan pengunjung pelbagai peringkat usia.
Menurut Ketua Grafik Media Mulia, Mohd. Rizal Mohd. Nor, pembukaan reruai tersebut bertujuan memperkenalkan MMToon secara lebih dekat kepada pengunjung selepas penyertaan awal di pesta buku sebelum ini.
“Program Zoom Kartun dipilih kerana ia memberi peluang kepada MMToon berinteraksi secara langsung dengan keluarga dan peminat kartun yang menjadi sasaran utama platform tersebut.
“Reruai ini turut menjadi ruang perbincangan awal berkaitan potensi industri animasi serta kandungan digital tempatan,” katanya ketika ditemui di Program Zoom Kartun yang diadakan di KL Gateway di sini semalam.
Rizal berkata, penyertaan kali ini juga membuka ruang jaringan baharu apabila MMToon bergabung buat pertama kali dengan penganjur Program Zoom Kartun.
Katanya, beberapa pertemuan susulan bersama pemain industri dijangka diatur selepas program ini bagi memperkukuh kerjasama strategik.
“Program tersebut turut menjadi medan pengenalan antara wakil-wakil industri termasuk pelukis-pelukis komik terkenal tanah air,” katanya.
Menurutnya, maklum balas awal pengunjung dalam program ini amat penting untuk menilai hala tuju MMToon sebelum diperluaskan ke platform lain.
“Pembukaan reruai MMToon ini dilihat sebagai langkah awal memperkukuh peranan media serta kandungan tempatan dalam ekosistem animasi digital negara,” katanya.-UTUSAN











