Mindef sasar nisbah 1:1 anggota tetap, simpanan ATM menjelang 2033

Mindef sasar nisbah 1:1 anggota tetap, simpanan ATM menjelang 2033

MOHAMED Khaled Nordin ketika sidang akhbar sempena Majlis Peluncuran Skuadron Rapid Rail 50 Rejomen Pakar Keretapi RAJDMajlis Peluncuran Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi RAJD, Askar Wataniah, di Menara Prasarana, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan (Mindef) menyasarkan nisbah satu sama satu (1:1) antara anggota tetap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan simpanan menjelang tahun 2033.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha itu penting bagi memastikan negara mempunyai kekuatan pertahanan yang seimbang tanpa perlu menanggung kos tinggi.

Katanya, bagi memenuhi sasaran tersebut, kira-kira 50,000 anggota simpanan Tentera Darat (Askar Wataniah) tambahan diperlukan, dengan pengambilan dianggarkan sekitar 6,000 anggota baharu setiap tahun.

“Kewujudan anggota simpanan juga membolehkan sesebuah negara meningkatkan jumlah kekuatan angkatan dengan pantas tanpa perlu menanggung kos tinggi secara berterusan pada waktu aman.

“Jika angkatan tetap terlalu besar, kos penyelenggaraan tentunya tinggi, namun dengan adanya anggota simpanan, negara masih mempunyai kekuatan tambahan tanpa beban kewangan yang berlebihan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Peluncuran Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi RAJD, Askar Wataniah, di sini hari ini.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman dan Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Tan Sri Mohd Nasir Ahmad.

Tambah Mohamed Khaled, selain menambah jumlah anggota, kerajaan juga memberi tumpuan kepada peluasan kepakaran pasukan simpanan melibatkan sektor strategik sejajar dengan keperluan semasa.

Katanya, pendekatan itu selaras dengan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang menekankan penglibatan seluruh masyarakat, industri dan sektor awam dalam usaha mempertahankan negara.

“Kita dalam keadaan keselamatan yang semakin rumit dan tidak menentu, ancaman kita tidak datang dalam hanya satu bentuk dan melibatkan pelbagai sektor dan infrastruktur.

“Jadi anggota simpanan kita, tentera simpanan kita mestilah juga diperluaskan dalam pelbagai lapangan dan juga pelbagai bidang.

“Atas sebab itulah anggota simpanan kita mempunyai pakar daripada kalangan doktor, IT (teknologi), air, telekomunikasi dan juga komunikasi, janakuasa elektrik dan sebagainya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN