Merealisasikan Hadiah Sastera Indera Kayangan (HSIK) 2026

Merealisasikan Hadiah Sastera Indera Kayangan (HSIK) 2026

Ridzuan Kamis bersama Rahman Shaari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERLIS meskipun kecil dari sudut keluasan geografi, tetapi tidak pernah ketinggalan daripada segi pemikiran, sejarah dan kebudayaannya. Negeri ini memiliki akar tradisi ilmu yang panjang, malah telah melahirkan tokoh-tokoh penting dalam dunia pendidikan, persuratan dan pemikiran kebangsaan.

Namun, dalam landskap kesusasteraan Malaysia, satu hakikat yang perlu diakui dengan jujur adalah Perlis masih belum pernah mempunyai majlis atau anugerah sastera negeri yang rasmi seperti negeri lain.
Ketiadaan anugerah sedemikian bukan sahaja merugikan penggiat sastera tempatan, malah menyebabkan sumbangan penulis Perlis kurang diraikan secara rasmi di peringkat negeri sendiri. Justeru, cadangan penganjuran

Hadiah Sastera Indera Kayangan (HSIK) 2026 hadir sebagai satu ikhtiar yang tepat pada waktunya dan bersifat strategik.

Jika direalisasikan, HSIK 2026 bakal menjadi julung kali diadakan dalam sejarah kesusasteraan Perlis, sekali gus menutup satu jurang besar dalam ekosistem sastera dengan negeri-negeri lain.

HSIK bukan sekadar acara penganugerahan, sebaliknya simbol kesedaran budaya, pengiktirafan intelektual dan penghormatan terhadap daya cipta penulis. Dalam hal ini, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) memainkan peranan amat besar dan signifikan. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus konsisten memperjuangkan bahasa dan sastera sebagai asas pembinaan tamadun bangsa. Penglibatan langsung DBPWU dalam merangka

HSIK 2026 membuktikan anugerah ini bukan bersifat kosmetik, tetapi dirancang dengan kerangka profesional dan berwibawa.

Kesungguhan DBPWU semakin terserlah apabila delegasi DBP telah mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah baru-baru ini. Pertemuan ini bukan sekadar kunjungan hormat, sebaliknya mencerminkan iltizam bersama untuk menjadikan HSIK 2026 realiti.

Lebih penting, Menteri Besar Perlis telah memberikan ‘lampu hijau’ terhadap usaha merealisasikan HSIK 2026 sebagai sebahagian daripada agenda pemerkasaan budaya dan sastera negeri malah negara secara amnya.

Keperluan HSIK menjadi semakin jelas apabila Perlis sebenarnya telah membuktikan kemampuannya melahirkan tokoh sastera bertaraf nasional. Negeri ini berbangga kerana mempunyai Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari, yang menjadi mercu tanda kecemerlangan sastera Perlis di persada kebangsaan.

Selain itu, Perlis juga tidak ketandusan penulis hebat dan prolifik seperti Nordin Saad, Solihin Osman, Ridzuan Kamis dan Shahkang (sekadar menyebut beberapa nama) telah menulis secara konsisten, tekal dan bermutu sejak sekian lama. Maka nama-nama ini tidak mustahil akan menggondol hadiah utama dalam HSIK 2026 nanti.

Oleh itu, HSIK 2026 sekurang-kurangnya dapat berfungsi sebagai wadah mengiktiraf penggiat sastera negeri, khususnya dalam bidang penulisan kreatif seperti novel, cerpen, puisi, rencana, kritikan sastera dan genre berkaitan.

Pengiktirafan ini penting bukan sahaja untuk menghargai karya, malah untuk menyemai motivasi, membina tradisi kecemerlangan dan melahirkan generasi penulis pelapis.

Antara kategori yang wajar dipertandingkan dalam HSIK 2026 adalah Kumpulan Puisi Umum Terbaik, Kumpulan Puisi Kanak-kanak Terbaik, Kumpulan Puisi Remaja Terbaik, Kumpulan Cerpen Terbaik, Novel Terbaik, Kritikan Sastera Terbaik, Rencana Sastera / Umum Terbaik, Buku Cerita Kanak-kanak Terbaik, karya-karya eceran lain di samping Anugerah Khas Juri.

Selain kategori karya, HSIK 2026 juga wajar memperkenalkan Anugerah Sasterawan Negeri Perlis dan Anugerah Sasterawan Harapan Negeri Perlis. Pengenalan dua pengiktirafan ini akan membentuk hierarki sastera negeri yang sihat, terancang dan berkesinambungan, sekali gus membuka ruang pembinaan legasi sastera jangka panjang, dan jangka sederhana.

Dalam konteks pelaksanaan, dua persatuan sastera utama di Perlis, iaitu Angkatan Sasterawan Indera (AKSARA) dan Persatuan Penulis Perlis (3P), perlu berperanan sebagai rakan strategik yang proaktif. Kedua-dua badan ini mempunyai jaringan akar umbi, pengalaman dan autoriti moral untuk menggerakkan komuniti penulis serta memastikan HSIK 2026 benar-benar berakar dalam masyarakat sastera negeri.

Dari sudut ganjaran, hadiah HSIK 2026 tidak perlulah terlalu besar memandangkan ia julung kali dianjurkan. Cukuplah sekadar hadiah yang sederhana nilainya, asalkan mendapat sokongan dan dukungan Kerajaan Negeri Perlis.

Peranan dan sumbangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta NGO-NGO berkaitan juga amat diperlukan demi memastikan matlamat penganjuran tercapai. Nilai sebenar HSIK terletak pada prestij, integriti penjurian dan kesinambungan penganjurannya, bukan pada jumlah hadiah semata-mata.

Bagi pencalonan karya, syarat yang wajar ditetapkan ialah penulis mestilah berasal dari Perlis atau bermastautin di negeri itu dalam tempoh beberapa tahun. Tempoh pencalonan pula dicadangkan karya yang ditulis antara tahun 2022 hingga 2025, memandangkan ini adalah penganjuran kali pertama dan bertujuan membuka ruang penyertaan yang lebih luas serta kompetitif. Pelantikan juri sepenuhnya oleh DBP amat penting bagi menjamin keadilan, profesionalisme dan kewibawaan keputusan.

HSIK 2026 juga wajar dilaksanakan pada tahun ini sebagai satu langkah proaktif dan simbolik kepimpinan Menteri Besar Perlis yang baharu, sekali gus menghantar mesej jelas bahawa negeri ini serius dalam memartabatkan budaya ilmu, bahasa dan sastera.

Lebih indah dan bermakna sekiranya Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis berkenan menyempurnakan majlis HSIK nanti.

Keberangkatan baginda akan mengangkat martabat sastera sebagai warisan negeri, sekali gus menghubungkan dunia persuratan dengan payung kedaulatan dan tradisi.

Dalam jangka panjang, penganjuran HSIK juga berpotensi menjadi pemangkin kepada pembinaan ekosistem sastera negeri yang lebih tersusun, merangkumi penerbitan, wacana kritikan, program pengkaryaan dan bimbingan penulis muda. Apabila sastera diraikan secara rasmi, ia akan merangsang minat generasi baharu untuk mendekati dunia penulisan, sekali gus menjadikan sastera bukan sekadar aktiviti, tetapi sebahagian daripada denyut

kehidupan masyarakat Perlis. HSIK boleh menjadi titik temu antara penulis, akademik, pelajar dan masyarakat umum dalam satu gelanggang budaya yang inklusif.

Penganjuran anugerah sastera negeri akan meletakkan Perlis sebaris dengan negeri-negeri lain yang telah lama meraikan sastera sebagai aset warisan. Dalam konteks ini, HSIK bukan sahaja memberi manfaat kepada penulis, malah menyumbang kepada pembinaan identiti negeri, diplomasi budaya dan pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan persuratan.

Kesimpulannya, HSIK bukan sekadar sebuah anugerah semata-mata, tetapi satu manifestasi visi budaya, satu ikhtiar membina ekosistem sastera yang sihat dan berdaya tahan, serta satu pelaburan jangka panjang terhadap pemikiran dan peradaban masyarakat Perlis.

Semoga HSIK 2026 menjadi realiti dan tercatat sebagai detik bersejarah dalam perjalanan kesusasteraan negeri Gapura Utara yakni Perlis Indera Kayangan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN