KUALA LUMPUR: Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akan ditambah menu daripada 20 kepada 33 jenis bermula akhir tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penambahan itu dibuat kerana mengambil kira aspek keperluan kalori dan seimbang selepas perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, ia juga bertujuan menarik minat dan cita rasa murid melalui tawaran pilihan makanan yang lebih luas dan pelbagai.
“Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa komited dalam memastikan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid sekolah diutamakan termasuk aspek pemakanan sihat yang menjadi faktor penting dalam perkembangan fizikal serta mental mereka.
“Program RMT merupakan inisiatif KPM bagi menyediakan makanan tambahan kepada murid sekolah rendah daripada keluarga B40 yang layak berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2022, iaitu isi rumah berpendapatan di bawah RM1,198 atau pendapatan per kapita RM322,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Fadhlina menjawab soalan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) mengenai langkah penambahbaikan kadar RMT di Sabah bagi 2026 memandangkan kos bahan mentah di negeri itu lebih tinggi berbanding Semenanjung.
Fadhlina berkata, RMT bertujuan memenuhi sebahagian keperluan kalori harian murid selaras dengan Saranan Pengambilan Nutrien Malaysia oleh KKM.
Katanya, setiap penerima akan menerima satu hidangan makanan bermasak dan sekotak susu 200 mililiter (ml) pada setiap hari persekolahan.
“Bagi memastikan RMT dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan, guru bertugas akan melaksanakan pemantauan RMT secara dalam talian setiap hari dan disemak oleh pentadbir sekolah setiap minggu.
“Melalui mekanisme itu, pembekal RMT sentiasa diberikan peringatan supaya kualiti dan kuantiti makanan yang dibekalkan menepati standard ditetapkan,” katanya.
Katanya, pemantauan turut dilaksanakan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta KPM secara berkala termasuk pemantauan semasa permulaan sesi kalendar akademik bagi memastikan RMT dilaksanakan pada hari pertama sesi persekolahan.
Beliau berkata, KKM turut bekerjasama melaksanakan pemantauan bagi memastikan kebersihan serta kaedah penyediaan makanan menepati standard dan menu yang ditetapkan.
“KPM turut melaksanakan semakan menaikkan kadar RMT bermula November 2022 daripada RM2.50 kepada RM3.50 bagi sekolah di Semenanjung serta daripada RM3.00 kepada RM4.00 bagi sekolah di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Peningkatan itu bertujuan mengimbangi kenaikan harga bahan mentah serta meringankan beban kewangan pembekal dalam menyediakan makanan RMT yang berkualiti dan mencukupi mengikut menu ditetapkan KPM,” jelasnya.
Fadhlina berkata, di Parlimen Libaran terdapat 26 sekolah rendah dengan jumlah enrolmen murid seramai 10,985 orang dan daripada jumlah tersebut, 4,326 murid merupakan penerima RMT.-UTUSAN










