McDonald’s Malaysia labur RM1b untuk tempoh lima tahun - Utusan Malaysia

McDonald’s Malaysia labur RM1b untuk tempoh lima tahun

McDonald’s Pandu Lalu Titiwangsa pada majlis pembukaan semula restoran itu, baru-baru ini. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Langkah McDonald’s Malaysia melabur RM1 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang mencerminkan komitmen berterusan syarikat terhadap pengembangan rangkaian restoran, penciptaan peluang pekerjaan serta usaha memperkukuh kebolehpasaran belia di seluruh negara.

Pengumuman pelaburan itu dibuat bersempena dengan perasmian pembukaan semula restoran pandu lalu McDonald’s Titiwangsa di Jalan Pahang.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, pertumbuhan syarikat dipacu oleh disiplin operasi, dedikasi serta tumpuan berterusan terhadap pelaburan dalam aspek teras termasuk restoran, warga kerja dan komuniti.

Azmir Jaafar

“Ketika syarikat terus berkembang, kami komited menyediakan peluang pekerjaan dan laluan kerjaya yang stabil kepada rakyat Malaysia di seluruh negara, selain menjadi pengalaman pekerjaan pertama bagi ramai belia tempatan.

“Kami melihat pekerjaan pertama sebagai titik permulaan penting, khususnya apabila disokong dengan latihan, bimbingan dan peluang pembangunan kerjaya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pembukaan Semula restoran pandu lalu McDonald’s Titiwangsa di Jalan Pahang.

McDonald’s Malaysia mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 26 peratus pada 2025 meskipun berdepan persekitaran perniagaan yang mencabar.

Prestasi itu didorong oleh permintaan pelanggan yang berterusan, penawaran nilai kompetitif, inovasi menu serta penekanan terhadap kecemerlangan operasi di seluruh rangkaian restorannya.

Mengulas lanjut, katanya, daripada jumlah pelaburan RM1 bilion itu, sebanyak RM600 juta akan digunakan untuk membuka 100 cawangan baharu dalam tempoh lima tahun akan datang, selari dengan pengembangan rangkaian yang kini merangkumi lebih 370 restoran di seluruh negara.

“Pengembangan ini dijangka mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia, disokong pembangunan belia berterusan menerusi Akademi Vokasional McDonald’s.

“Ketika ini, McDonald’s Malaysia menggaji lebih 16,000 pekerja tempatan dengan dasar pengambilan 100 peratus rakyat Malaysia,” katanya.

AZMIR Jaafar ketika melancarkan gimik pembukaan semula
McDonald’s Pandu-Lalu Titiwangsa baru-baru ini.

Menurutnya, anggota kru menerima latihan berstruktur di tempat kerja serta sokongan pembangunan kerjaya yang membolehkan mereka meningkat ke peringkat penyeliaan dan pengurusan.

Beliau berkata, Akademi Vokasional McDonald’s dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

“Program ini menggabungkan latihan praktikal di restoran dengan pembelajaran berstruktur di bilik darjah bagi menyediakan belia dengan kemahiran bertaraf antarabangsa.

“Peserta akan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM),” ujarnya.

Sejak 2018, program berkenaan telah melatih lebih 5,000 belia, dengan lebih 80 peratus daripada mereka memilih untuk membina kerjaya bersama McDonald’s Malaysia, termasuk daripada golongan B40, orang kurang upaya dan komuniti Orang Asli.

McDonald’s Malaysia juga menyokong rantaian bekalan tempatan dengan 75 peratus produknya diperoleh dan dihasilkan dalam negara, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan rantaian bekalan domestik serta merangsang ekonomi tempatan.

Sementara itu, McDonald’s Malaysia turut memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi memperkukuh infrastruktur digital, termasuk kiosk pesanan sendiri, aplikasi McDonald’s dan sistem dapur bagi meningkatkan kelajuan, ketepatan serta tahap kepuasan pelanggan.

“Inisiatif ini merangkumi penambahbaikan sistem tempat jualan, platform digital serta program kesetiaan pelanggan bagi menyokong operasi yang lebih cekap dan pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan.

“Sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang, McDonald’s Malaysia terus melabur dalam operasi restoran yang lebih cekap dan bertanggungjawab, selari dengan komitmen terhadap kelestarian.

“Inisiatif ini termasuk pemasangan panel solar di lebih 100 restoran di seluruh negara dan dirancang untuk diperluaskan ke 100 restoran lagi menjelang akhir 2026,” jelasnya.

Azmir berkata, langkah itu menyokong kecekapan tenaga serta pengurangan impak alam sekitar, selain usaha berperingkat syarikat untuk menghapuskan penggunaan plastik dengan penggunaan pembungkusan boleh dikitar semula.

Selain itu, baki RM200 juta pula diperuntukkan bagi menaik taraf lebih 150 restoran sedia ada supaya kekal moden, selesa dan relevan dengan komuniti setempat.

Ini termasuk McDonald’s Titiwangsa di Jalan Pahang, iaitu restoran pandu lalu pertama McDonald’s di Malaysia yang dibuka pada 1988, yang kini tampil dengan identiti baharu sebagai restoran konsep Luna pertama di negara ini dan yang kedua di Asia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN