KUALA TERENGGANU: Penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) warga Myanmar yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Batu Buruk, di sini Isnin lalu ditemukan di pesisir pantai itu pada pukul 2.30 pagi ini, iaitu kira-kira 350 meter dari lokasi kejadian.
Mayat mangsa ditemukan pasukan penyelamat yang melakukan rondaan menggunakan kenderaan semua bentuk muka bumi (ATV).
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Thoyyibah Taib berkata, operasi berkenaan melibatkan pelbagai agensi penyelamat dan berjalan lancar hasil kerjasama bersepadu semua pihak.
“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. BBP Kuala Terengganu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pasukan yang menunjukkan dedikasi tanpa henti sepanjang operasi dijalankan,” katanya hari ini.
Pada Isnin lalu, mangsa, Sithu Moe Lwin, 18, warga Myanmar yang menetap di Kuala Lumpur dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya di Pantai Batu Buruk.
Difahamkan, mangsa datang ke bandar ini untuk bercuti bersama tiga rakannya. – UTUSAN










