KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Dafi, 38, memaklumkan dia tidak gemar menceritakan, malah lebih memilih untuk merahsiakan masalah yang dihadapinya daripada pengetahuan orang lain.
Kata bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-5 itu, hal itu kerana dia enggan membebankan pihak lain dengan masalah hidupnya.
“Kita semua ada masalah. Tetapi saya memilih untuk merahsiakan.
“Saya pernah cuba meluahkan. Tetapi penerimaan orang agak negatif.
“Disebabkan itu saya lebih suka menyimpan sendiri masalah saya,” katanya.
Dafi berkata demikian selepas pementasan Projek Tentang Rasa di Damansara Performing Arts Centre semalam.
Dafi berkata dia tidak pernah terasa hati dengan pelbagai tuduhan yang diterimanya ketika berdepan masalah kemurungan dua tahun lalu.
“Masa itu saya baca banyak persepsi ditulis di media sosial gara-gara badan saya terlalu kurus.
“Ada yang dakwa saya sakit dan sebagainya. Tindakan mereka itu tidak membantu malah menambah tekanan.
“Tapi saya tidak pernah marah, saya cuma anggap mereka bimbang,” kongsinya lagi.
Mengulas tentang teater Projek Tentang Rasa, Dafi mengakui babak dilakonkannya dalam pementasan itu merupakan kisah benar yang pernah dilaluinya dulu.
“Kisah yang diceritakan adalah titik terendah dalam hidup saya. Ketika saya merasakan diri tidak berguna.
“Saya tidak suka berkongsi masalah. Tapi saya ceritakan dalam teater ini,” kongsinya lagi.
Disoal tentang adegan makan pil dalam babak berkenaan, Dafi menjelaskan ia cuma metafora yang menggambarkan tahap tekanan hidup yang pernah dilaluinya dulu.
“Alhamdulillah, saya masih ingat Tuhan. Tidak mahu bertindak yang bukan-bukan seperti menamatkan riwayat hidup.
“Tapi saya pernah terfikirkannya, cuma tidak pernah berkehendak ke arah itu,” ujarnya.
Peojek Tentang Rasa akan dipentaskan bermula malam ini hingga Ahad ini di DPAC.
Pementasan arahan Syawal Azrai ini turut menampilkan Adriana Adnan, Syazwan Razak, Zaid Erakad dan ramai lagi. – UTUSAN










