Di sebalik kesunyian dunia mereka sebagai golongan autisme, tersembunyi bakat yang mampu menggetarkan jiwa dan membuka mata masyarakat.
Siapa sangka, pelajar autisme berupaya menghasilkan gubahan dan anyaman yang bukan sahaja indah dipandang, malah sarat dengan nilai ketekunan, kesabaran serta harapan besar buat masa depan pendidikan negara.
Inilah realiti yang dipamerkan oleh pelajar Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Tembeling, Jerantut apabila hasil tangan mereka berjaya mencuri perhatian dalam beberapa pameran rasmi, sekali gus menepis tanggapan lapuk bahawa autisme merupakan kekangan untuk berjaya dan berdikari.
Guru Pendidikan Khas sekolah berkenaan, Noraliza Yusof berkata, seramai 12 pelajar autisme berusia antara 13 hingga 17 tahun dikenal pasti memiliki bakat luar biasa dan dibimbing secara berterusan mengikut kecenderungan serta kebolehan masing-masing.
Menurutnya, empat orang guru Pendidikan Khas berganding bahu melaksanakan pendekatan pembelajaran berasaskan kemahiran dengan memberi tumpuan kepada bidang gubahan, anyaman dan seni manik, selari dengan potensi individu pelajar.
“Hasil bimbingan berterusan ini, enam produk utama berjaya dihasilkan termasuk gubahan bunga songket, kotak tisu hiasan, gelang manik, tudung saji anyaman bersaiz kecil dan besar serta Diamond Art Manik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini
Penghasilan produk berkenaan bukan sekadar memenuhi aktiviti pembelajaran di bilik darjah, sebaliknya menjadi medium penting membina keyakinan diri, kesabaran, fokus dan kemahiran hidup dalam kalangan pelajar autisme.
Lebih membanggakan, katanya, produk hasil tangan pelajar itu turut dipasarkan kepada orang ramai pada harga berpatutan semasa pameran dan program komuniti sebagai pendedahan awal kepada elemen keusahawanan dan berdikari, selain mengajar mereka menghargai nilai usaha sendiri.
Menurut beliau, hasil kerja pelajar berkenaan dipamerkan dalam Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jerantut, Pelancaran Kampung Angkat MADANI serta Hari Terbuka Orang Kelainan
Upaya (OKU) Daerah Jerantut, dan menerima sambutan serta reaksi amat positif daripada pengunjung.
“Ramai yang terkejut kerana tidak menyangka hasil yang begitu kemas, teliti dan cantik ini datang daripada tangan anak-anak autisme membuktikan mereka mampu berjaya jika diberi ruang, bimbingan dan kepercayaan,” katanya.
Mengulas peranan guru dan sistem pendidikan, Noraliza menegaskan kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui produk yang terhasil, tetapi pada maruah, harga diri dan masa depan pelajar yang dibina melalui sentuhan pendidikan berjiwa.
“Anak-anak ini bukan kekurangan, mereka cuma berbeza. Pendidikan adalah jambatan yang menghubungkan potensi mereka dengan dunia luar. Selagi ada guru yang percaya,” katanya.
SMK Kuala Tembeling, katanya, menawarkan kelas Pendidikan Khas Autisme secara khusus serta menerima murid OKU mengikut keperluan. Pada masa sama, terdapat juga ibu bapa yang memilih menempatkan anak autisme di aliran perdana dengan sokongan guru, bergantung kepada kesediaan sekolah dan keupayaan tenaga pendidik.
Usaha yang dilaksanakan oleh SMK Kuala Tembeling itu mencerminkan wajah sebenar pendidikan negara yang inklusif, berperikemanusiaan dan berpaksikan harapan, sekali gus membuktikan bahawa pendidikan bukan sekadar soal akademik, tetapi satu amanah membina insan bermaruah dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi negara bahawa tiada seorang pun anak Malaysia harus tertinggal, walau apa jua keistimewaan yang dimiliki.-UTUSAN










