Maritim Malaysia pastikan perairan negara selamat untuk pelancongan maritim - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia pastikan perairan negara selamat untuk pelancongan maritim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tahap keselamatan pelancongan maritim negara dijamin berada dalam keadaan terkawal dan berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menyokong penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, Maritim Malaysia memainkan peranan penting dalam membina keyakinan pelancong tempatan dan antarabangsa yang menjalankan aktiviti di perairan negara.

Katanya, lebih lagi Maritim Malaysia sebagai agensi utama penguatkuasaan undang-undang maritim serta operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT).

“Maritim Malaysia kini bersedia sepenuhnya bagi memastikan semua aktiviti pelancongan maritim dapat dilaksanakan secara selamat, terkawal dan mematuhi piawaian keselamatan sepanjang tahun.

“Bagaimanapun tanggungjawab keselamatan di laut bukan terletak sepenuhnya di bahu Maritim Malaysia sebaliknya memerlukan komitmen semua pihak termasuk pengusaha bot, agensi pelancongan serta individu yang terlibat dalam aktiviti di laut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pematuhan prosedur keselamatan seperti pemakaian jaket keselamatan, membawa kit kecemasan serta Personal Locator Beacon (PLB), penggunaan bot berdaftar dan selamat selain pemantauan keadaan cuaca sebelum ke laut adalah aspek yang tidak boleh dikompromi bagi mengelakkan kemalangan serta kehilangan nyawa.

Dalam pada itu, Mohd Rosli berkata, sebanyak 256 operasi CARILAMAT melibatkan 1,930 mangsa, dengan 1,768 individu berjaya diselamatkan manakala 125 kematian direkodkan sepanjang tahun lalu.

Sehubungan itu, katanya, Maritim Malaysia tidak mahu melihat peningkatan statistik kemalangan laut yang berpunca daripada kecuaian serta kurangnya kesedaran keselamatan, khususnya dalam kalangan pengguna dan pengusaha aktiviti pelancongan maritim.

“Tumpuan khusus diberikan kepada kawasan tumpuan pelancongan maritim termasuk pulau peranginan, perairan pantai, laluan feri dan bot penumpang serta lokasi aktiviti rekreasi laut.

“Pendekatan kami bukan semata-mata operasi penguatkuasaan, sebaliknya memberi penekanan kepada pencegahan awal dan pemantauan keselamatan supaya pelancong merasai perairan Malaysia sebagai selamat dan terkawal,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, Maritim Malaysia akan menyambut Hari Ulang Tahun Ke-21 pada 15 Februari ini di Miri, Sarawak dengan tema “21 Tahun Maritim Malaysia: Maritim Diperkasa, Samudera Terpelihara”.

Menurutnya, sambutan tersebut menjadi platform memperkukuh hubungan strategik antara Maritim Malaysia dengan komuniti maritim, pemain industri pelancongan dan perkapalan serta agensi berkaitan dalam memperkasakan budaya keselamatan di laut.

“Keselamatan di laut merupakan tanggungjawab bersama dan menggesa semua pihak mematuhi aspek keselamatan agar TMM 2026 bukan sahaja merancakkan ekonomi negara malah mengukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan maritim yang selamat dan diyakini di mata dunia,”katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN