Mara teroka peluang kerjasama dengan universiti terkemuka di Australia

Mara teroka peluang kerjasama dengan universiti terkemuka di Australia

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) memfokuskan untuk memperkukuhkan kerjasama strategik pendidikan dengan institusi terkemuka termasuk di Australia dengan lebih tersusun, mampan dan berimpak tinggi.

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dalam lawatan kerjanya di Australia beliau mengadakan empat pertemuan berturut-turut dengan kepimpinan Monash University, ROyal Melbourne Institute of Technology (RMIT), University of Melbourne dan University of Sydney.

Katanya, setiap perbincangan menjurus kepada rangka kerja untuk menghantar pelajar Mara ke luar negara dengan nilai terbaik untuk negara.

“Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk pelaksanaan program berkembar, pemindahan kredit yang lebih sistematik, laluan dwi-ijazah serta model pendidikan transnasional yang boleh disinergikan bersama Mara dan universiti di Australia.

“Mara juga memohon pertimbangan diskaun yuran dan meneroka model ‘co-sponsorship’ bagi pengajian Sarjana dan PhD supaya jumlah pelajar dapat ditingkatkan tanpa membebankan dana awam.

“Prinsip kita jelas, akses mesti diperluas tetapi kos mesti diurus dengan berhemah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, kerjasama dengan Universiti RMIT turut dimeterai secara rasmi bersama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sekali gus membuka lembaran baharu dalam memperkukuh laluan TVET Mara ke peringkat antarabangsa.

“Melalui kerjasama ini, program berkembar, pemindahan kredit dan pendedahan industri akan disusun secara lebih strategik supaya pelajar UniKL dan institusi TVET Mara mendapat akses kepada ekosistem teknologi dan industri global.

“TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya laluan strategik untuk melahirkan tenaga mahir bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata, selain pertukaran pelajar, perbincangan turut merangkumi penyelidikan bersama dalam bidang strategik seperti kejuruteraan, logistik, semikonduktor dan lain-lain, mobiliti staf akademik serta program kebolehpasaran graduan.

“Hasrat kita adalah membina hubungan institusi ke institusi yang kukuh dan berjangka panjang. InsyaAllah setiap persefahaman yang dicapai akan diterjemahkan kepada tindakan konkrit demi memastikan masa depan pendidikan Mara terus gemilang di peringkat global,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN