KUALA LUMPUR: Malaysia tidak terjejas sekiranya kuasa besar ekonomi dunia termasuk Amerika Syarikat (AS) gagal melaksanakan obligasi dan komitmen ditetapkan di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, ini kerana Malaysia tidak bergantung sepenuhnya kepada WTO, sebaliknya terbabit dalam instrumen perjanjian lain termasuk perjanjian perdagangan bebas (FTA) serta perjanjian pelaburan dua hala.
Katanya, WTO berperanan menetapkan peraturan perdagangan antara negara anggota dan menjadi piawaian minimum kepada obligasi serta komitmen perdagangan.
“Sekiranya WTO tidak lagi berkuat kuasa, Malaysia menandatangani pelbagai perjanjian perdagangan FTA dengan rakan dialognya yang memperuntukkan lebih banyak hak, obligasi dan komitmen lebih meluas berbanding WTO.
“Pada masa sama, Malaysia boleh terus memperjuangkan kepentingan perdagangannya dengan rakan dua hala melalui instrumen-instrumen lain seperti FTA atau perjanjian pelaburan dua hala,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) berhubung implikasi terhadap Malaysia sekiranya kuasa besar dunia seperti AS tidak lagi melihat kepada nilai peraturan WTO.
Mengulas lanjut, Kulasegaran berkata, semua negara anggota yang tertakluk di bawah WTO secara prinsipnya dilindungi melalui beberapa mekanisme termasuk berkaitan konflik perdagangan antarabangsa di antara ahlinya.
“Bagi memastikan setiap negara ahli melaksanakan obligasi dan komitmen di bawah perjanjian-perjanjian WTO, terdapat mekanisme seperti mekanisme penyelesaian pertikaian, penelitian semula dasar perdagangan dan pemantauan oleh Jawatankuasa WTO.
“Mana-mana pihak yang terkesan dengan apa-apa pelanggaran atau ketidakpatuhan terhadap prinsip atau peraturan tersebut boleh membawa pihak yang melanggar ke mekanisme terbabit,” katanya.
Sementara itu, Kulasegaran menegaskan, RUU berkenaan hanya terpakai untuk menangani kes pertikaian komersial antarabangsa dan tidak melibatkan pertikaian peribadi, kekeluargaan atau berkaitan pekerjaan.
Penjelasan itu dibuat susulan pertanyaan Dr. Abd. Ghani Ahmad (PN-Jerlun) sama ada RUU berkenaan merangkumi pertikaian peribadi termasuk isu melibatkan suami isteri.-UTUSAN










