Malaysia perketat syarat pengecualian visa warga China kekang penyalahgunaan

Malaysia perketat syarat pengecualian visa warga China kekang penyalahgunaan

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia memperkenalkan langkah kawalan lebih ketat bagi memastikan pengecualian visa 90 hari kepada warganegara China tidak disalahgunakan untuk mendapatkan projek dan bekerja di negara ini

Menteri Dalam Negeri , Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mekanisme langkah kawalan itu dilaksanakan menerusi Perjanjian Pengecualian Visa Bersama antara Malaysia dan China.

Beliau berkata, perjanjian itu mengehadkan tempoh kemasukan tanpa visa kepada maksimum 30 hari bagi setiap kemasukan, tertakluk kepada had kumulatif 90 hari dalam tempoh keseluruhan 180 hari.

Katanya, ketetapan itu secara tegas tidak membenarkan kemudahan pengecualian visa selama 90 hari secara berterusan seperti yang dinikmati oleh sesetengah negara lain.

“Sebelum perjanjian berkenaan dikuatkuasakan, warga RRC dibenarkan masuk tanpa visa melalui Pelan Liberalisasi Visa bermula 1 Disember 2023 untuk tempoh 30 hari bagi setiap kemasukan tanpa sebarang had kumulatif tahunan.

“Penambahbaikan dasar melalui perjanjian ini menunjukkan pendekatan kerajaan yang lebih berwaspada dalam mengimbangi aspek kemudahan pengembara dan pengukuhan kawalan sempadan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai langkah-langkah untuk memastikan pengecualian visa 90 hari bagi warga negara China tidak disalahgunakan untuk mendapatkan projek dan bekerja di Malaysia terutama dalam industri pembinaan, pengubahsuaian dan sebagainya

Menurut Saifuddin, kemudahan itu hanya terpakai bagi tujuan lawatan sosial dan pelancongan sahaja.

“Bagi maksud lain seperti bekerja atau menjalankan aktiviti profesional berbayar, pelawat warganegara RRC diwajibkan memohon visa serta mendapatkan Pas Penggajian yang sah daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Melalui pendekatan penguatkuasaan itu, kerajaan komited memastikan pembangunan ekonomi dan sektor pelancongan negara terus berkembang tanpa menjejaskan keselamatan, kedaulatan undang-undang serta kepentingan pasaran pekerjaan tempatan.

“Rakyat Malaysia turut menikmati manfaat timbal balas yang sama menerusi perjanjian pengecualian visa tersebut apabila berkunjung ke RRC,” katanya.

Saifuddin berkata, Malaysia ketika ini memberikan kemudahan pengecualian visa kepada warganegara dari 154 negara bagi tujuan lawatan sosial dan pelancongan.

Katanya, tempoh keberadaan yang dibenarkan berbeza mengikut negara iaitu 14 hari, 30 hari, 60 hari atau 90 hari dan setiap kemasukan tertakluk kepada syarat serta penilaian akhir Pegawai Imigresen di pintu masuk negara.

“Secara terperinci, 26 negara diberikan kelayakan 14 hari, 58 negara bagi 30 hari, 38 negara bagi 60 hari dan 66 negara bagi tempoh 90 hari.

“Perbezaan tempoh ini ditetapkan berdasarkan pertimbangan strategik kerajaan yang merangkumi hubungan diplomatik, kepentingan ekonomi serta penilaian risiko keselamatan yang disemak dari semasa ke semasa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN