Malaysia kecam serangan Asia Barat, langgar prinsip kedaulatan wilayah

Malaysia kecam serangan Asia Barat, langgar prinsip kedaulatan wilayah

SEBUAH peluru Iran berpandu dilancarkan dari kapal perang dalam ketenteraan di Teluk, 16 Februari lalu. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap Iran dan serangan balas terhadap beberapa
negara di rantau Asia Barat iaitu Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait dan Qatar pada hari ini.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, serangan ini melanggar prinsip kedaulatan dan integriti wilayah, dan merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.

Katanya, ini termasuk pelanggaran terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan menimbulkan ancaman besar terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa.

“Tindakan ketenteraan seperti ini berisiko menambah ketidakstabilan di wilayah yang sudah rapuh dan membahayakan nyawa orang awam.

“Pada saat kritikal ini, semua usaha mesti diambil untuk mengelakkan peningkatan ketegangan dan potensi implikasi yang menjejaskan kestabilan serantau dan membawa kesan global yang lebih luas,” katanya hari ini.

Wisma Putra berkata, Malaysia menegaskan bahawa setiap pertikaian mesti diselesaikan melalui dialog dan diplomasi, dengan menghormati undang-undang antarabangsa sepenuhnya.

Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk mengambil tindakan segera dan tegas bagi menangani perbuatan ini.

Ini termasuk memastikan mereka yang bertanggungjawab diadili mengikut undang-undang antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN