Ma, tolong jahitkan ini – Kilafairy masih terpanggil Rohana Jalil - Utusan Malaysia

Ma, tolong jahitkan ini – Kilafairy masih terpanggil Rohana Jalil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Biarpun sudah tiga tahun pemergian bonda tercinta, Allahyarhamah Rohana Jalil, penyanyi, Kilafairy mengakui hatinya masih terasa seolah-olah insan kesayangan itu tetap ada di sisi.

Menurut Kila atau Syakila Nisa Jahangir Khan, 33, kerinduan yang tidak pernah padam itu diterjemahkan menerusi sebuah projek istimewa apabila dia merakamkan lagu bergenre R&B yang didedikasikan khas buat arwah ibunya.

Lebih menyentuh hati, karya tersebut bakal menampilkan ‘kehadiran’ Rohana sendiri menerusi teknik pensampelan (sampling) suara daripada lagu popular Allahyarhamah.

“Apa yang lebih istimewa, lagu ini akan ada suara Mama. Saya ambil sampel daripada salah satu lagu popular Mama dan masukkan ke dalam trek baharu.

“Dulu saya memang ada impian untuk merakamkan lagu bersama Mama, tetapi tidak kesampaian. Jadi, menerusi lagu ini, saya mahu suara Mama sentiasa ada bersama Kila,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Tambah Kila, projek berkenaan turut mendapat sentuhan kakaknya yang bertindak sebagai penulis lirik. Namun, dia mengakui cabaran terbesar adalah mengawal emosi setiap kali melangkah masuk ke studio rakaman.

“Proses rakaman baru separuh jalan. Jujurnya, memang susah untuk dihabiskan kerana emosi terlalu kuat. Ada satu bahagian lagu yang setiap kali saya nyanyikan, pasti akan menangis.

“Saya selalu tersangkut di bahagian sama. Sampai pernah tanya kakak, kenapa tulis lirik begitu? Terlalu pedih untuk dinyanyikan,” ujarnya.

Berkongsi lanjut kehidupan tanpa seorang ibu, Kila tidak menafikan dia masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan kehilangan tersebut.

Malah, ada ketikanya dia secara spontan masih memanggil arwah di rumah, seolah-olah ibunya masih ada untuk membantu menguruskan keperluan harian.

“Sampai sekarang, saya masih terpanggil ‘Ma’. Kadang-kadang terjerit, ‘Ma, mana seluar?’ atau ‘Ma, tolong jahitkan ini’, sebab saya selalu pinjam baju arwah.

“Nak biasakan diri bahawa semua itu tidak akan berlaku lagi memang ambil masa yang lama. Saya sudah reda, tetapi untuk membiasakan diri itu yang paling susah.

“Saya tidak pernah cuba melupakan. Sebenarnya saya takut kalau satu hari nanti  terlupa suara Mama. Takut kalau memori bersama dia makin pudar,” luahnya.

Lagu penuh makna itu dijangka menemui peminat selepas Aidilfitri ini sebagai sebuah naskhah yang merakamkan penceritaan jujur tentang kehilangan dan kerinduan seorang anak terhadap syurganya, Rohana Jalil. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN