Low Sock Ken menulis di empat era Perdana Menteri

Low Sock Ken menulis di empat era Perdana Menteri

FAHMI Fadzil menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada Low Sock Ken di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor Bahru. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Nama Low Sock Ken mungkin tidak sebaris nama wartawan-wartawan veteran tanah air yang dikenali ramai, namun individu bertubuh kecil ini mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam bidang berkenaan.

Memulakan karier kewartawanannya pada tahun 1982, Sock Ken berkhidmat di pelbagai akhbar tempatan dan antarabangsa sebelum meletakkan pena tanda berpencen pada 2021 disebabkan faktor usia.

Kini, wanita berusia 68 tahun itu menghabiskan usia emasnya di kediaman keluarga bersama suami dan seorang anak lelakinya di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, di sini.

“Saya mula menjadi wartawan pada tahun 1982 bersama akhbar Nanyang Siang Pau, kemudian bertukar ke beberapa penerbitan termasuk di Singapura dan Indonesia buat beberapa tahun.

“Sepanjang 40 tahun menjadi wartawan, saya sudah bekerja dengan enam agensi termasuK surat khabar dan majalah. Saya memilih kerjaya ini kerana suka menulis walaupun gaji permulaan kecil iaitu RM215 sebulan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya, di sini.

Ibu kepada dua orang anak itu lagi, antara pengalaman paling tidak dapat dilupakan adalah membuat liputan tentang insiden pengeboman Bali, Indonesia selama lebih seminggu.

“Syarikat saya bekerja hantar saya ke sana, sepanjang tempoh itu saya dapat saksikan kesan kejadian letupan dan impak yang ditinggalkan kepada keluarga mangsa, sama ada warga tempatan mahupun pelancong.

“Paling saya ingat adalah suasana sunyi dan tenang walaupun ketika upacara pengkebumian berlangsung,” katanya yang membuat liputan melibatkan empat Perdana Menteri bermula dari Tun Dr. Mahathir Mohamad hingga Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas perayaan Tahun Baharu Cina hari ini, Sock Ken berkata dia menyambutnya secara sederhana  dengan acara makan besar dibuat di rumah ibu saudaranya yang tinggal berhampiran.

“Itu sudah menjadi tradisi saya sekeluarga sejak muda lagi dan masih diteruskan hingga kini manakala pada hari Tahun Baharu Cina ini, saya serta suami berkunjung ke rumah saudara yang berhampiran, hanya dua rumah.

“Saya dan keluarga sambut Tahun Baharu Cina sederhana sahaja, mencukupi buat kami sekeluarga,” katanya yang turut memberikan nasihat agar wartawan baharu jangan berhenti belajar khususnya melibatkan penggunaan teknologi terkini.

Sementara itu, dia menerima kunjungan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA di kediamannya di sini.

Fahmi berkata, Tabung Kasih@HAWANA yang dimulakan sejak April 2023 memberikan manfaat kepada seramai 644 wartawan veteran yang banyak menabur bakti kepada individu berkenaan.

“Kerja media telah banyak berubah, terutama dengan penggunaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), bagaimanapun pengalaman dan sentuhan manusia itu tidak boleh digantikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN