TANJUNG MALIM: Lima warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terpilih menjadi imam solat tarawih sempena Program Qari in Residence sepanjang bulan Ramadan di United Kingdom, Australia dan Singapura.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pemilihan wakil UPSI di institusi Islam luar negara sepanjang Ramadan membuktikan keupayaan universiti itu melahirkan graduan dan warga institusi yang diberi penghormatan dan pengiktirafan global terhadap kualiti pendidikan tahfiz universiti tersebut.
“Saya berasa bangga apabila pelajar Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan dari Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Adib Farhan Baharudin terpilih menjadi imam di Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS), United Kingdom.
“Ini satu penghormatan luar biasa untuk pelajar UPSI yang mendapat peluang untuk memantapkan lagi keperibadiannya sebagai seorang pelajar tahfiz,” katanya.
Katanya, program yang bermula daripada 16 Februari hingga 21 Mac itu memperlihatkan potensi besar institusi pendidikan tempatan dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu al-Quran di peringkat global.
“Program itu melibatkan empat pelajar dan seorang pegawai UPSI diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai imam serta menyumbang kepakaran dalam bidang al-Quran di beberapa institusi keilmuan Islam.
“Selain Adib Farhan, Ahmad Al Mustafa Mohd. Azmi berkhidmat sebagai imam di Malaysian Hall Perth, Australia sementara Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli serta Muhd. Farhan Hakimi Khairul Aizam masing-masing berkhidmat di Singapura di Masjid al-Ghufran, Singapura.
“Guru Tahfiz, merangkap Penasihat Persatuan Tahfiz UPSI, Al-Luqman Al-Hakim Che’ Zahari dari Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami FSK turut diberi kepercayaan berkhidmat sebagai imam di Masjid Dar al-Iman dan Malaysian Hall Sydney, Australia,” katanya. – UTUSAN










