LHDN kesan RM1.4 bilion pendapatan tidak dilapor hasil semakan e-invois

LHDN kesan RM1.4 bilion pendapatan tidak dilapor hasil semakan e-invois

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Sejumlah RM1.4 bilion pendapatan dikesan tidak dilapor kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hasil semakan e-invois yang menyumbang kepada hasil cukai sebanyak RM290 juta.

LHDN dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 17,188 pembayar cukai yang sebelum ini didapati tidak mematuhi pengemukaan borang nyata cukai pendapatan (BNCP), telah tampil mengemukakannya dan melaporkan pendapatan bagi tahun taksiran ke belakang.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, LHDN telah mengenal pasti pembayar cukai yang tidak melaporkan pendapatan untuk tindakan penguatkuasaan, sekali gus mengekalkan keadilan terhadap pembayar cukai yang mematuhi perundangan percukaian.

“Lebih 500,000 kes berpotensi telah dikenal pasti menunjukkan corak keupayaan kewangan yang tinggi tetapi tidak sepadan dengan rekod percukaian sedia ada, termasuk tiada rekod pelaporan pendapatan kepada LHDN.

“Melalui pendekatan ini, semakan audit dijalankan dan mengeluarkan peringatan untuk menggalakkan pembayar cukai membuat pengakuan secara sukarela sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan atau kesilapan dalam maklumat percukaian mereka,” katanya hari ini.

LHDN berkata, sejak pelaksanaan e-Invois mulai 1 Ogos 2024, LHDN berkata, sebanyak 184,325 pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois yang melibatkan pengeluaran sebanyak 979 juta e-Invois secara keseluruhan.

Katanya, perkembangan ini menunjukkan tahap penerimaan yang baik dalam kalangan pembayar cukai termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terhadap pelaksanaan e-Invois sebagai langkah transformasi untuk mendigitalkan operasi perniagaan.

Ini termasuk  memastikan transaksi direkod atau disimpan secara lebih teratur sama ada di pihak penjual dan pembeli.

“Sebagai agensi pentadbir cukai langsung negara, LHDN komited memberi sokongan penuh kepada kerajaan bagi memastikan setiap pihak menunaikan tanggungjawab cukai mereka dengan melapor dan membayar cukai dengan sewajarnya.

“Dengan gabungan pendekatan berasaskan data dan teknologi terkini, LHDN sentiasa memastikan cukai dipungut secara adil dan saksama kepada golongan yang layak, serta berupaya mengesan sebarang ketidakpatuhan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, LHDN menasihatkan semua pembayar cukai supaya sentiasa memastikan maklumat percukaian yang dikemukakan adalah tepat, lengkap dan terkini bagi mengelakkan penalti yang lebih berat serta tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN