KUALA LUMPUR: Lelaki warga asing dipercayai cuba menyogok pegawai polis akibat tidak memiliki lesen memandu serta dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan di Jalan Suasa 6, Sungai Besi, Cheras di sini ditahan hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pada 4.07 pagi.
Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira pada 3 pagi ketika seorang pegawai polis berusia 47 tahun sedang menjalankan tugas pemeriksaan jalan raya di lokasi berkenaan.
“Pemeriksaan ke atas sebuah motosikal yang ditunggang suspek mendapati lelaki warga asing berusia 24 tahun itu gagal mengemukakan lesen memandu kelas B2 serta dokumen pengenalan diri yang sah.
“Suspek kemudian cuba memberi wang sogokan kepada pegawai polis terbabit sebagai balasan supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pegawai polis terbabit telah memberi amaran tegas supaya suspek tidak melakukan perbuatan rasuah tersebut.
Jelas beliau,, suspek enggan mematuhi arahan sebelum ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63,” katanya.
“Suspek direman 14 hari bermula 2 Februari hingga 15 Februari 2026 untuk siasatan lanjut,” katanya.- UTUSAN










