IPOH: Lelaki yang tular selepas memegang parang dan menunjukkan isyarat lucah di simpang empat lampu isyarat Jalan Raja Ekram, Taman Jubilee di sini, didapati mempunyai lapan rekod jenayah lampau termasuk tiga kes berkaitan narkotik.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, lelaki warga tempatan berusia 28 tahun itu ditahan di hadapan sebuah restoran mamak di Greentown pada pukul 6.15 petang, semalam.
“Susulan tangkapan terhadap suspek, pihak polis membuat rampasan sebuah kereta jenis Honda Civic, sebatang anak kunci berserta alat kawalan jauh kenderaan.
“Permohonan reman terhadap suspek telah dibuat dan mahkamah membenarkan selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu tular di media sosial rakaman video berdurasi 25 saat yang memaparkan seorang lelaki menunjukkan sebilah parang dan isyarat lucah ketika berada di dalam sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat.
Tindakak lelaki itu telah menimbulkan rasa kurang senang pengguna jalan raya yang menegur perbuatannya.
Menurut maklumat tular, kejadian berlaku pada 15 Januari lalu, pukul 9.26 malam dan dikatakan maklumat kejadian itu telah dilaporkan kepada pihak polis namun tiada tindakan diambil. – UTUSAN










