GEORGE TOWN : Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun cedera parah selepas dipercayai ditetak oleh sekumpulan suspek yang menaiki motosikal di hadapan lobi sebuah bangunan komersial di Jalan Kelawai di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8 pagi dan mangsa kemudian telah dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dengan senjata dan pihak polis kini sedang giat mengesan suspek-suspek yang terlibat bagi membantu siasatan.
“Pada masa yang sama, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Muhaimin Muthar di talian 014-3421292,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum itu, tular dua rakaman video masing-masing berdurasi 17 dan 29 saat menunjukkan seorang lelaki berlumuran darah dipercayai akibat ditetak di hadapan sebuah bangunan komersial serta video menunjukkan beberapa suspek cuba melarikan diri selepas kejadian dengan menaiki motosikal.-UTUSAN










