Lelaki maut kemalangan dua kereta - Utusan Malaysia

Lelaki maut kemalangan dua kereta

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa kemalangan dua kereta di Taman Meru Industrial Estate, Jelapang di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki maut manakala lima yang lain terselamat dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Taman Meru Industrial Estate, Jelapang di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kemalangan itu diterima pada pukul 4.19 pagi.

Katanya, setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati nahas membabitkan sebuah kereta jenis Honda City dan sebuah kereta Mazda CX5 dengan seorang mangsa masih berada di dalam salah satu kenderaan.

“Terdapat seorang lelaki berusia 32 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri berada di bahagian penumpang belakang kereta Mazda CX-5 dan tidak tersepit.

“Ketua Operasi melakukan penilaian awal sebelum mengaplikasikan konsep SAVER dan mengarahkan anggota mengeluarkan mangsa menggunakan papan spinal.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam kejadian itu dua lelaki dewasa dari kereta sama dan tiga lelaki dewasa dari Honda City terselamat dan keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Operasi yang disertai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya itu ditamatkan pada pukul 5.13 pagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN