Lelaki didenda RM2,000 khianat anjing liar guna mercun bola - Utusan Malaysia

Lelaki didenda RM2,000 khianat anjing liar guna mercun bola

WONG Phan Sang dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Batu Gajah selepas mengaku bersalah melakukan khianat terhadap seekor anjing liar, bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Seorang pemilik restoran didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat terhadap seekor anjing liar, bulan lalu.

Tertuduh, Wong Phan Sang, 64, juga berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidi.

Azlin Zeti turut memerintahkan agar barang kes termasuk pemetik api dan enam unit mercun bola yang dirampas daripada tertuduh dilupuskan oleh pihak pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan membunuh seekor anjing liar di hadapan sebuah restoran di Jalan Seroja, Taman Pusing Baru, Pusing kira-kira pukul 7.30 malam, 28 Januari 2026.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam bela, Choong Hui Yean memohon dikenakan denda pada kadar minimum sekitar RM500 dengan alasan anak guamnya juga merupakan ‘mangsa’ kerana anjing itu berulang kali mengejarnya sebelum kejadian sehingga menyebabkan dia cedera selepas motosikalnya terjatuh.

Menurut beliau, tertuduh juga menghidap kebimbangan melampau yang memerlukan rawatan selain mendakwa kematian anjing itu tidak disengajakan kerana haiwan berkenaan sendiri menggonggong mercun bola yang dilemparkan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Monisha Pandey memohon mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran, susulan peningkatan kes penganiayaan haiwan sejak kebelakangan ini.

Pada 31 Januari lalu, seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes khianat sehingga menyebabkan kematian seekor anjing jalanan di Pusing dekat sini.

Kejadian itu disedari apabila penduduk setempat terdengar bunyi letupan yang kuat sebelum menemui seekor anjing terbaring di tepi jalan dalam keadaan mulut berlumuran darah di kawasan berhampiran sebuah restoran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN