PUTRAJAYA: Lebih 40 akaun Facebook dan hampir 10 akaun di TikTok yang disyaki terlibat dalam menyebarkan kandungan tingkah laku tidak tulen terselaras (coordinated inauthentic behaviour) dalam tempoh 24 jam lalu.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesan sebuah video bersama naratif sama telah disebarkan secara terselaras yang didakwa melibatkan satu insiden antara individu berbangsa India dan Melayu.
“Didapati dalam tempoh 24 jam yang lalu satu berita telah ditularkan yang pada awalnya didakwa melibatkan seorang gangster berbangsa India mencederakan seorang tuan tanah berbangsa Melayu dan terdapat elemen-elemen atau bibit perkauman yang cuba diselitkan dalam kenyataan itu.
“Kalau rakan-rakan media teliti, hampir semua posting ini menggunakan video yang sama dan ayat yang sama.,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di Kementerian Komunikasi hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, proses siasatan berkait sebaran maklumat tersebut sedang dijalankan dan sebarang cubaan mengapikan sentimen perkauman tidak diterima.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi turut merujuk laporan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris minggu lalu mengenai kewujudan beberapa akaun yang aktif menyebarkan komen tertentu ketika siaran langsung persidangan Parlimen.
Katanya, hasil siasatan terkini MCMC mendapati sebanyak 19 akaun yang dipercayai palsu dikenal pasti terlibat dalam aktiviti ‘coordinated inauthentic behaviour’ tersebut.
“Daripada 19 akaun itu, dua telah disahkan sebagai akaun palsu dan siasatan sedang dijalankan terhadap baki 17 akaun lagi,” katanya.










