Lebih 100 lokasi jualan Rahmah Madani di Terengganu

Lebih 100 lokasi jualan Rahmah Madani, Bazar Ramadan Rahmah di Terengganu

MOHD. Musfi Lat (kiri) beramah mesra bersama pengunjung pada Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di Masjid Kampung Banggol Binjai, Tepoh, Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Lebih 100 lokasi Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) disediakan di seluruh negeri ini sempena Ramadan bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, ia melibatkan 51 pelaksanaan di dalam premis dan 65 pelaksanaan secara bergerak.

Katanya, pelaksanaan tersebut merangkumi semua lapan daerah di Terengganu termasuk kawasan bandar dan luar bandar dengan anggaran 30,000 hingga 50,000 pengguna bakal menerima manfaat secara langsung.

“Barangan keperluan asas ditawarkan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa, sekali gus membantu rakyat mengurus perbelanjaan harian sepanjang Ramadan,” katanya pada sesi Walkout  Jualan Rahmah Madani di Masjid Banggol Binjai Tepoh , di sini.

Antara barangan yang ditawarkan menerusi PJRM ialah beras, minyak masak, gula, tepung, telur, barangan basah serta barangan keperluan harian lain hasil kerjasama strategik bersama pemborong, peruncit dan rakan industri tempatan.

Mohd. Mufsi berkata, KPDN Terengganu komited memastikan pelaksanaan PJRM berjalan lancar, telus dan berkesan agar manfaatnya dapat dinikmati oleh kumpulan sasar.

Selain PJRM, KPDN Negeri Terengganu turut melaksanakan BRR di lapan lokasi terpilih, melibatkan satu lokasi bagi setiap kawasan Parlimen di seluruh negeri.

Lapan lokasi terpilih bagi pelaksanaan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) 2026 Negeri Terengganu ialah Bazar Ramadan Kerteh, Kemaman (24 Februari dan 9 Mac); Bazar Ramadan Kampung Raja, Besut (25 Februari dan 10 Mac); Bazar Ramadan Gong Badak, Kuala Nerus (26 Februari dan 13 Mac); Bazar Ramadan Binjai Rendah, Marang (1 dan 12 Mac); Bazar Ramadan Paka, Dungun (2 dan 11 Mac); Bazar Ramadan Sungai Tarom, Setiu (3 dan 7 Mac); Bazar Ramadan Kuala Ibai (5 dan 14 Mac); serta Bazar Ramadan Kuala Berang, Hulu Terengganu (8 dan 15 Mac 2026).

Sementara itu, sehingga 31 Januari 2026, KPDN Terengganu  melaksanakan 93 siri Program Jualan Rahmah MADANI di seluruh lapan kawasan Parlimen negeri ini, yang dianggarkan memberi manfaat kepada lebih 30,000 pengunjung dengan nilai jualan melebihi RM3 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN