KUANTAN: Sebanyak lapan titik panas dikesan aktif di beberapa daerah utama di Pahang, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap risiko peningkatan kebakaran terbuka ketika negeri ini mula berdepan cuaca kering.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, Datuk Mohd. Razam Taja Rahim berkata, titik panas tersebut dikenal pasti di Temerloh yang merekodkan jumlah tertinggi iaitu enam titik panas diikuti Pekan dan Bentong.
“Lokasi terlibat di Temerloh merangkumi Kemajuan Tanah Meh, Ladang Kemasul, Kampung Bukit Relang dan Kampung Paya Laman manakala satu titik panas masing-masing dikesan di Ladang RISDA Kampung Mempelas, Pekan serta Kampung Bukit Raka, Bentong.
“Kehadiran titik panas ini adalah petunjuk awal kepada potensi berlakunya kebakaran terbuka berskala besar sekiranya langkah pencegahan tidak diambil segera,” katanya selepas Perhimpunan Tahunan di Ibu Pejabat JBPM Pahang, di sini hari ini.
Mohd. Razam berkata, data JBPM turut menunjukkan peningkatan mendadak kes kebakaran terbuka di negeri ini apabila 82 kes direkodkan sepanjang Januari 2026, berbanding hanya sembilan kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Daripada jumlah itu, katanya kebakaran belukar dan lalang mencatatkan angka tertinggi dengan 65 kes diikuti kebakaran sampah (10 kes) dan kebakaran hutan (tujuh kes).
“Situasi diburukkan dengan kejadian kebakaran tanah gambut yang masih berlaku antaranya di Kampung Baru Cenderawasih, Pekan, melibatkan keluasan 0.8 hektar dan memerlukan bantuan Jabatan Perhutanan.
“Selain itu, kebakaran hutan di Ladang Ibam, Muadzam Shah dilaporkan melibatkan kawasan seluas 8.09 hektar,” katanya.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, JBPM Pahang menyampaikam pengiktirafan kepada Pasukan Keselamatan Kebakaran Istana (PKKI) Istana Pahang, selain penganugerahan ‘Hero Bomba’ dan ‘Hero Masyarakat’ kepada individu yang terlibat dalam misi kemanusiaan serta penyelamatan nyawa. – UTUSAN










