PETALING JAYA: Seluruh warga kerja Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi perlu melangkah ke tahun baharu dengan semangat kental, berfikiran progresif dan komitmen tinggi dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan negara.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, kehadiran Tahun Kuda melambangkan tenaga, keberanian dan daya tahan yang tinggi.
“Oleh itu, semangat tersebut perlu diterapkan dalam usaha memperkukuh dan memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam majlis penyampaian limau mandarin kepada hampir 550 penjawat kementerian baru-baru ini, Steven Sim menekankan bahawa pemberian buah limau bukan hanya tradisi, tetapi simbol doa, kemakmuran dan harapan yang baik.
“Limau mandarin bukan sekadar tradisi perayaan malah melambangkan doa, kemakmuran, dan harapan yang baik untuk tahun baharu.
“Dalam budaya masyarakat Cina, buah limau dikaitkan dengan tuah dan rezeki kerana sebutannya hampir sama dengan perkataan yang membawa maksud keberuntungan dan emas.
“Simbolik tersebut mencerminkan aspirasi agar seluruh warga kementerian dikurniakan kesejahteraan, kesihatan, dan kejayaan dalam melaksanakan amanah kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










