KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tidak mempunyai kuasa untuk mengecualikan bayaran sewa tanah terbiar kerana urusan berkaitan tanah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri serta agensi pemilik tanah.
Timbalan Menterinya, Datuk Chan Foong Hin berkata, pihak kementerian menyambut baik cadangan supaya tanah terbiar yang tidak diusahakan diberikan kebenaran penggunaan kepada pihak yang berminat dalam bidang pertanian.
Bagaimanapun, katanya, pada masa ini kementerian belum mempunyai sebarang perancangan khusus untuk melaksanakan program pemberian hak penggunaan tanah secara percuma bagi tempoh tertentu.
“Tumpuan kementerian ketika ini adalah untuk mengoptimumkan penggunaan kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) serta tanah-tanah berpotensi yang telah dibangunkan melalui inisiatif sedia ada.
“Ia bertujuan memastikan aktiviti pertanian dapat dilaksanakan secara terancang, mampan dan berimpak tinggi kepada pengeluaran makanan negara,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd. Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) berhubung cadangan pemberian hak penggunaan tanah terbiar yang tidak diusahakan kepada pihak berminat dalam bidang pertanian. – UTUSAN










