BATU PAHAT: Sebanyak 818 lampu sembahyang ‘ciplak’ bernilai RM56,791 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menerusi satu operasi yang dijalankan di daerah ini, semalam.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya menjalankan serbuan melibatkan tiga lokasi berbeza iaitu sebuah gudang dan dua premis perniagaan yang menjual alatan sembahyang masyarakat Cina.
Menurut beliau, serbuan itu dibuat susulan risikan dan pemantauan selama sebulan oleh penguatkuasa KPDN Johor dengan kerjasama pemilik hak cipta karya berkenaan.
“Pemeriksaan awal mendapati gudang dan premis terlibat memiliki serta menawarkan barangan untuk jualan lampu sembahyang yang disyaki melanggar karya seni yang telah berdaftar dan dilindungi hak cipta.
“Hasil pemeriksaan lanjut dan pengesahan awal oleh pihak pemilik hak cipta, sebanyak 818 unit lampu sembahyang telah disita dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM56,791.86,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Lilis Saslinda, pihaknya memandang serius sebarang pelanggaran harta intelek kerana ia menjejaskan pemilik hak yang sah, tetapi turut memberi kesan kepada integriti pasaran dan kepercayaan pengguna. – UTUSAN










