KP, Pengarah jabatan kerajaan disyaki seleweng RM900,000 direman 5 hari

KP, Pengarah jabatan kerajaan disyaki seleweng RM900,000 direman 5 hari

KETUA Pengarah dan Pengarah di jabatan kerajaan dibawa untuk permohonan reman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah (KP) sebuah jabatan kerajaan serta pengarahnya direman lima hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana berjumlah RM900,000.

Perintah berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah bermula hari ini sehingga 16 Februari terhadap kedua-dua suspek selepas permohonan reman dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini.

Menurut SPRM, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an telah ditahan kira-kira pulul 1 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Mereka disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024.

Kedua-duanya dipercayai telah menyalahgunakan kuasa dan kedudukan masing-masing dengan menggunakan peruntukan kewangan di tempat mereka bekerja berjumlah kira-kira RM900,000 untuk kepentingan peribadi.

Mereka juga dipercayai mengemukakan tuntutan palsu dan dokumen yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM60,000 untuk menunaikan umrah semasa menghadiri urusan rasmi di Jeddah pada 29 Januari hingga 4 Februari tahun lalu.

Terdahulu suspek tiba di Perkarangan Mahkamah Putrajaya pada pukul 9.10 pagi menaiki kenderaan SPRM.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan susulan sekiranya terdapat bukti dan keterangan tambahan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 serta turut melibatkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan berkaitan pecah amanah dan salah guna harta.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN