Kota Kinabalu kota puisi esei bantu penyuburan aktiviti sastera

Kota Kinabalu kota puisi esei bantu penyuburan aktiviti sastera

bandaraya Kota Kinabalu menerima pengiktirafan ibu kota puisi esei pada Disember 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Acara sastera dan penulisan terus mendapat perhatian daripada badan sastera di negeri Sabah, bermakna usaha memartabatkan bidang tersebut di negeri berkenaan tidak pernah berhenti. Program bidang penulisan, deklamasi puisi dan bengkel latihan terus diadakan, membuktikan aktiviti kesusasteraan terus subur di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Terbaharu Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) menganjurkan Wacana Puisi Esei ASEAN iaitu sebuah program berbentuk festival tahunan yang sudah dimasukkan dalam kalendar BAHASA yang mesti dianjurkan setiap tahun.

Presiden BAHASA, Datuk Jasni Matlani berkata, festival tersebut dianjurkan dengan sokongan Kerajaan Negeri Sabah sejak 2022 lagi.

Matlamat utama program tersebut diadakan adalah untuk mempromosi puisi esei sebagai satu genre sastera baharu ke peringkat yang lebih luas dan kebetulan pula puisi esei mempunyai daya penarik yang tersendiri dari segi berbahasa, (manakala) unsur dramatik yang terdapat dalam puisi esei sekarang sudah mula diminati dan disukai di peringkat ASEAN,” ujarnya.

Penyertaannya kata beliau terdiri daripada penggemar puisi esei pada peringkat ASEAN.

Malah apabila dianjurkan, festival puisi, ia juga menarik minat masyarakat setempat termasuk golongan muda yang mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan.

Pihaknya juga menganjurkan program duta puisi esei yang melibatkan anak muda berumur 25 tahun ke bawah, yang dibimbing bukan sahaja untuk menulis puisi esei, malah bagaimana mengurus sastera khususnya puisi esei pada peringkat domestik dan antarabangsa.

Oleh kerana bidang kesusasteraan memerlukan sistem pengurusan yang baik maka BAHASA dan Komuniti Puisi Esei ASEAN, bergerak ke arah itu dalam membangun komuniti puisi esei dan memartabatkan puisi esei itu sendiri.

Tujuannya supaya masyarakat tidak terus menjarakkan diri daripada puisi, kerana kajian yang dijalankan BAHASA sebelum ini menunjukkan bahawa genre sastera itu semakin terpisah daripada masyarakat, tidak diminati dan hanya eksklusif kepada penyair sahaja.

Puisi tidak difahami dan sukar menarik minat generasi muda yang terdedah dengan internet of things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).

Oleh itu, puisi esei datang sebagai alternatif untuk mendekatkan semula puisi esei dengan masyarakat.

Selain itu kata Jasni, festival tersebut juga diadakan untuk membantu ekonomi masyarakat, menerusi kedatangan penulis luar negara ke Sabah yang boleh membantu industri pelancongan.

“Malah kita ada matlamat hendak menjadikan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai kota sastera yang diiktiraf oleh UNESCO )(Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu” ujar Jasni.

Namun salah satu syaratnya mesti banyak kegiatan sastera dianjurkan di Sabah, maka pelaksanaan program berkenaan dengan sendirinya membantu mempermudahkan pihaknya merealisasikan hasrat itu.

“Sudah pasti kita akan naif jika hanya berkokok dalam reban sendiri sahaja. Sebagai penulis, kita mesti bersedia keluar dan melakukan transformasi, inovasi, membuat jaringan dengan penulis luar setidak-tidaknya pada peringkat ASEAN, tidak kira sama ada itu melibatkan bidang puisi esei, cerpen, novel, drama dan teater, “ ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, jika ada yang belum lengkap dalam konteks keterampilan Sabah sebagai penulis dalam konteks negara sendiri, maka hubungan timbal balik yang baik dengan penulis lain pada peringkat ASEAN itu sangat penting dan sangat signifikan.

Berkongsi lebih lanjut Jasni berkata, puisi esei adalah satu bentuk sastera hibrid yang menggabungkan puisi naratif dengan esei analitik dalam teks yang sama, atau menggabungkan imaginasi dan fakta.

Cerita yang diolah itu pula mesti berasaskan fakta atau peristiwa sebenar tetapi turut diwarnai imaginasi. Tumpuan biasanya diberikan menjurus kepada isu atau tema kemanusiaan.

Genre tersebut mula dipopularkan oleh seorang penyair, iaitu Denny JA daripada Indonesia pada 2012. “ Saya mengembangkannya di Malaysia, pada peringkat ASEAN dan global, “ ujar beliau lagi.

Puisi masih disampaikan dalam bentuk naratif puitis ( ada simile, metafora, personifikasi dan simbolisme yang bersesuaian), menggunakan bahasa figuratif , ada emosi, mesej, dialog, dan penceritaannya digerakkan oleh satu atau dua watak.

Puisi esei bertemakan isu sosial yang pernah terjadi iaitu fakta sebenar tentang ketidakadilan sosial, perbezaan kelas, hak asasi manusia, cerita sejarah yang boleh diketengahkan semula kerana ada unsur kemanusiaan dan patriotisme dan isu- isu sosial yang mengangkat nilai- nilai moral dan cinta.

“Dalam sastera bagi saya hubungan timbal balik yang baik ini mesti dikukuhkan.

“Kita mengeratkan kebersamaan, dan merangkul perbezaan, meraikan semua karya sastera. Tidak timbul persoalan misalnya, saya hanya meraikan puisi esei, buat kerja dan festival berkaitan puisi esei sahaja, “ ujarnya.

Jasni membawa masuk puisi esei ke dunia sastera di Malaysia pada 2017 iaitu melalui aktiviti festival sastera di Sabah.

Selepas itu setiap tahun puisi esei dimasukkan dalam aktiviti sastera di Sabah.

Bermula 2022 hingga kini festival puisi esei antarabangsa diadakan di Sabah dan berdiri sendiri sebagai festival khusus untuk puisi esei, dengan pengisiannya hanya membincangkan puisi oleh tokoh sastera dan ahli akademik peringkat ASEAN dan antarabangsa. Seterusnya ada majlis pembacaan puisi esei, pelancaran buku puisi esei dan juga penyampaian hadiah puisi esei, pertandingan puisi esei diadakan dan lain lain lagi.

Puisi esei berkembang melalui Kota Kinabalu ke negara Brunei, Singapura, Thailand.

Baru-baru ini, BAHASA baru saja menganjurkan festival puisi esei ASEAN ke-5 di Tuaran dan perasmian penutupannya disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.

Program tersebut dianggap penting dalam konteks membincangkan hal yang berkaitan dengan puisi esei di Malaysia, dan pada peringkat antarabangsa. Program tersebut mendapat kerjasama daripada Dewan Bahasa dan

Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Institut Pendidikan Guru (IPG) , dan Komuniti Puisi Esei ASEAN.

Objektif penganjurannya membincangkan dan menilai perkembangan puisi esei pada peringkat antarabangsa, melaksanakan program berimpak tinggi dalam konteks puisi esei di Sabah serta menyemarakkan sastera, melalui puisi esei khususnya, yang mampu menyumbang ke arah pembangunan dan hala tuju sastera tempatan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN