Konsert Amal Si Hitam Manis gegarkan Karnival Demi Paya Rumput - Utusan Malaysia

Konsert Amal Si Hitam Manis gegarkan Karnival Demi Paya Rumput

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kehadiran Datuk Hattan, Black Hanifah dan Hazama dijangka menjadi tarikan utama menerusi Konsert Amal Si Hitam Manis sempena Karnival Demi Paya Rumput yang berlangsung dari 8 hingga 15 Februari di Stadium Hang Jebat, di sini.

Konsert amal yang menawarkan kemasukan percuma itu dijadualkan berlangsung pada 14 Februari ini, pukul 8.45 malam di Pentas Utama Perkarangan Stadium Hang Jebat dan bakal menjadi acara kemuncak sepanjang penganjuran karnival berkenaan.

Selain persembahan hiburan, konsert itu turut diserikan dengan pelancaran Tabung Pendidikan Anak-Anak Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput sebagai usaha membantu kebajikan dan pendidikan anak-anak di kawasan berkenaan.

Penganjuran konsert melibatkan artis popular tanah air itu dijangka menarik kehadiran pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya peminat muzik tempatan yang menantikan persembahan artis kegemaran mereka.

Karnival Demi Paya Rumput yang berlangsung selama lapan hari itu turut menampilkan pengisian kerohanian menerusi program Paya Rumput Berselawat dan Ceramah Perdana yang dijadualkan berlangsung pada 13 Februari, pukul 8.45 malam di lokasi sama.

Program berkenaan akan menampilkan Ustaz Elyas Ismail dan Sayyid Arshid, selain alunan selawat oleh kumpulan Fayha Alsham.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin, berkata penganjuran karnival itu bertujuan menyantuni rakyat selain memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.

Beliau berkata, karnival itu turut berfungsi sebagai platform menghimpunkan komuniti setempat melalui pelbagai pengisian melibatkan hiburan, keagamaan dan aktiviti kemasyarakatan.

Menurutnya, sebanyak 101 aktiviti dirangka sepanjang penganjuran karnival berkenaan melibatkan segmen keagamaan, pendidikan, kebajikan, belia serta masyarakat.

Antara aktiviti yang disediakan termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, Fun Walk, pameran automotif (Auto Show), kejohanan Mobile Legends: Bang Bang, kaunter perkhidmatan bergerak pelbagai agensi serta program My Future Job.

Selain itu, karnival berkenaan turut merangkumi pelaksanaan Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Melaka serta beberapa pengisian berbentuk khidmat masyarakat yang melibatkan penyertaan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Kemuncak karnival dijangka disempurnakan dengan kehadiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sekali gus mencerminkan sokongan kerajaan negeri terhadap penganjuran program berteraskan komuniti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN