PETALING JAYA: Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam nyaris maut selepas diserang dua lelaki berpistol pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi itu, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir terselamat daripada cubaan bunuh itu.
Menurut sumber, dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal dipercayai melepaskan tembakan ke arah mangsa ketika Mohd. Nasaruddin dalam perjalanan menunaikan solat Subuh.
Ketika kejadian, Mohd Nasaruddin dilaporkan berada dalam sebuah kenderaan sebelum suspek menghampiri dan melepaskan dua das tembakan ke arahnya.
“Suspek kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian. Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Sementara itu, Utusan Malaysia sedang mendapatkan pengesahan dan maklumat mengenai kejadian daripada polis. – UTUSAN










