Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh antara projek 'sakit' di Kelantan

Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh antara projek ‘sakit’ di Kelantan

NIK Badlihisham Nik Ismail (tengah) menunjukkan nombor cabutan undi sambil menyerahkan surat setuju terima kepada kontraktor sempena Cabutan Kerja Undi JKR Cawangan Kejuruteraan Elektrik Kelantan di Tunjung, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh di sini, adalah antara tiga projek pembangunan di Kelantan yang dikenal pasti sebagai projek sakit.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR)  Kelantan, Nik Badlihisham Nik Ismail berkata, kegagalan kontraktor mematuhi tempoh siap menyebabkan projek bernilai RM28.46 juta itu terpaksa diserahkan kepada pihak lain.

Katanya, tarikh siap terkini projek klinik berkenaan disasarkan pada 26 Oktober ini dengan pelaksanaan pembinaan diteruskan bagi memastikan kemudahan kesihatan itu dapat beroperasi secepat mungkin.

“Kelewatan projek ini (Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh) memberi kesan langsung kepada penduduk setempat apabila mereka terpaksa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pendek.

“Ia sekali gus menjejaskan keselesaan dan akses perkhidmatan kesihatan. Apabila klinik baharu itu kelak dilengkapi dengan pelbagai peralatan perubatan bagi meningkatkan kualiti rawatan kepada penduduk sekitar,” katanya sempena Cabutan Kerja Undi JKR Cawangan Kejuruteraan Elektrik Kelantan di Yayasan Islam Kelantan (YIK) Tunjong di sini, hari ini.

Nik Badlihisham berkata, Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Abdullah, Melor dan kerja menaik taraf wad Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian adalah dua lagi projek di negeri ini yang turut dikenal pasti mengalami kelewatan  akibat pelaksanaan.

Katanya, kedua-dua projek itu dilakukan tidak teratur dan gagal mengikut jadual perancangan.

“Kontraktor yang bakal mengambil alih projek-projek sakit ini  diwajibkan mematuhi sepenuhnya syarat kontrak dan jadual pelaksanaan. JKR Kelantan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN