PETALING JAYA: Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa semakin meruncing susulan kewujudan dua kem dalam parti itu.
Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Shafiq Abdul Halim berkata, kewujudan dua kem itu mewujudkan perpecahan sokongan dalam kalangan ahli-ahli Bersatu.
Katanya, sebahagian ahli Bersatu memihak kepada Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali manakala sebahagian lagi menyokong Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Menurutnya, kedua-dua pemimpin tersebut berasal daripada latar belakang parti berbeza sebelum menyertai Bersatu dan telah membentuk kelompok sokongan masing-masing.
“Ini jarang orang nyatakan, tetapi saya katakan secara terbuka bahawa memang wujud dua kelompok dalam parti.
“Sebahagiannya datang daripada UMNO dan sebahagian lagi daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Yang daripada UMNO mahukan pemimpin mereka sendiri (Hamzah), manakala yang daripada PKR cenderung kepada Azmin.
“Masing-masing mahu pemimpin mereka menjadi presiden atau sekurang-kurangnya mengepalai parti. Di situlah bermulanya perpecahan dalam parti ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Bersatu di sini, hari ini.
Difahamkan, Shafiq merupakan antara 14 pemimpin parti yang dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Bersatu hari ini susulan isu disiplin.
Mengulas lanjut, Shafiq tidak menolak kemungkinan tindakan disiplin terhadap mana-mana pemimpin kanan parti, khususnya Hamzah, boleh memberi kesan besar terhadap kestabilan Bersatu.
“Kalau tindakan diambil terhadap pimpinan tertentu, sudah tentu akan ada kesan. Krisis ini bukan perkara baharu, cuma sekarang ia semakin jelas,” katanya.
Ketika ditanya sama ada terdapat pemimpin lain yang turut hadir di pejabat parti pada hari berkenaan, beliau berkata, tiada lagi perjumpaan bersama Lembaga Disiplin dijadualkan pada hari ini.
“Saya sahaja yang berada di atas tadi. Yang lain saya tidak pasti,” katanya.-UTUSAN










