PETALING JAYA: Pihak berkuasa dan ketua jabatan digesa supaya lebih terbuka dan sanggup mengambil tindakan tegas walaupun tidak popular, termasuk melaksanakan syor tatatertib serta menyingkirkan pegawai yang didapati korup.
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkata, langkah itu penting bagi menegakkan integriti dan akauntabiliti institusi secara menyeluruh.
“Persepsi dan naratif terhadap rasuah serta salah laku perlu dilihat sebagai satu bentuk rompakan terhadap negara yang menuntut setiap penjawat awam bertindak segera dan berani bagi mencegah kesalahan daripada terus berakar umbi.
“Ia perlu diubah supaya mencerminkan komitmen serius negara dalam memperkukuh integriti, selaras dengan sasaran peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini
Dalam pada itu, EAIC turut menyambut baik penegasan Transparency International Malaysia (TI-M) mengenai keperluan memperincikan reformasi institusi dan perundangan, termasuk cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia.
Katanya penubuhan badan berkenaan perlu dirancang dan dilaksanakan dengan teliti tanpa sebarang kelompangan, berkesan serta mampu memberi manfaat yang lebih tinggi berbanding agensi sedia ada.
“EAIC memaklumkan pihaknya akan terus melaksanakan pelbagai usaha dan mekanisme bagi memperkukuh integriti serta akauntabiliti dalam kalangan agensi penguatkuasaan selaras dengan fungsi agensi sebagai Ketua Peneraju Focus Group Penguatkuasaan di bawah Pasukan Petugas Khas CPI,” katanya.-UTUSAN









